Lelaki Dikhuatiri Lemas
- nabalunews
- May 1
- 1 min read

1 May 2025
SIPITANG: Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas hilang ketika memukat ikan dalam kejadian di Sungai Megalong, Kampung Banting, di sini, petang tadi.
Mangsa berusia 51 tahun itu dilaporkan hilang kira-kira jam 3 petang oleh beberapa rakan yang turun ke lokasi untuk bersama-sama menangkap ikan.
Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sipitang, Calvin Joe Jeafery berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 3.52 petang.

Katanya, sepasukan 20 anggota dan pegawai termasuk Unit Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Zon Beaufort bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terus dikerah ke lokasi kejadian.
“Menurut pemanggil mangsa dilaporkan lemas semasa menjalankan aktiviti memukat ikan bersama kawan-kawannya sebelum disedari hilang dari pandangan semasa menarik pukat.
“Sebaik tiba di lokasi, pasukan operasi terus mendapatkan maklumat lanjut sebelum melaksanakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di sepanjang sungai,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, operasi SAR turut dibantu pasukan PPDA Zon Beaufort dan sebarang maklumat lanjut akan dikemaskini dari semasa ke semasa.
Коментарі