top of page

Lelaki edar 52.43 gram syabu ditahan

  • nabalunews
  • Apr 17
  • 1 min read


17 April 2025


TAWAU: Seorang lelaki ditahan bersama 52.43 gram syabu dalam operasi serbuan yang dijalankan pihak polis di Kampung Kurnia Jaya, Batu 4, di sini, semalam.


Lelaki warga asing berusia 40-an itu ditahan kira-kira jam 7.30 pagi oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) TawauD


Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner, Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima maklumat risikan mengenai aktiviti pengedaran dadah di kampung berkenaan.


Katanya, hasil tindakan pantas pasukan serbuan, suspek berjaya ditahan walaupun cuba melarikan diri selepas dikesan dalam keadaan mencurigakan.


“Hasil siasatan awal, suspek didapati tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.


“Pemeriksaan yang dijalankan terhadap beg suspek menemukan 74 paket plastik kecil berlainan saiz berisi bahan disyaki dadah jenis syabu seberat 52.43 gram,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Jasmin berkata, semua dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM2,550 dan suspek terus dibawa ke IPD Tawau untuk siasatan lanjut.


“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek negatif dari sebarang jenis dadah dan semakan rekod jenayah juga menunjukkan suspek tidak mempunyai sebarang kesalahan lampau.


“Suspek juga mengaku mendapat bekalan dadah daripada seorang rakan yang juga dipercayai berada di kawasan yang sama,” katanya.


Jasmin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan jika sabit kesalahan.


“Suspek direman bermula hari ini bagi membantu siasatan lanjut, manakala usaha mengesan individu lain yang terlibat dalam sindiket pengedaran dadah berkenaan sedang giat dijalankan,” katanya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page