Lelaki Maut Dipijak Gajah
- nabalunews
- Apr 13
- 1 min read

13 April 2026
LAHAD DATU: Seorang lelaki maut selepas dilaporkan dipijak gajah liar dalam kejadian di kawasan Ladang Begahak 2, Jalan Tungku, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 2 petang itu, warga emas berusia 69 tahun dilaporkan mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintendan Jimmy Panyau berkata, berdasarkan siasatan awal, mangsa yang berada di lokasi bersama anaknya sebelum diserang haiwan berkenaan secara tiba-tiba.
Katanya, anak mangsa berjaya menyelamatkan diri namun dipercayai gagal membantu mangsa yang terus dipijak gajah liar berkenaan.
“Anak mangsa menjerit untuk meminta bantuan dan cuba mengalih perhatian gajah berkenaan.
“Sebaik gajah liar itu meninggalkan lokasi, anak mangsa terus membawa bapanya ke Hospital Lahad Datu untuk mendapatkan rawatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital akibat kecederaan parah.
Katanya, hasil siasatan awal mendapati, haiwan berkenaan adalah gajah tunggal dan tidak bergerak secara berkumpulan.
“Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat di Balai Polis Tungku atau hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu,” katanya.
Sehubungan itu, Jimmy menasihatkan penduduk khususnya di kawasan Tungku supaya sentiasa peka dan berhati-hati dengan kehadiran gajah liar di kawasan masing-masing.















Comments