- nabalunews
Lelaki maut, nahas dua motosikal di Manggatal
18 Ogos 2024
KOTA KINABALU: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya terbabit kemalangan dengan sebuah motosikal lain di simpang Pekan Manggatal, Jalan Tuaran, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian jam 10.20 malam itu, mangsa Ambrose Kulis, 44, yang menunggang motosikal jenis Aveta, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner, Kasim Muda berkata siasatan awal mendapati ketika kejadian, mangsa menunggang motosikal seorang diri dari arah Telipok menuju ke Inanam.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal mangsa berlanggar dengan sebuah motosikal lain jenis Yamaha Lagenda yang ditunggang oleh seorang lelaki berusia 28 tahun yang menuju ke arah Pekan Manggatal.
“Hasil siasatan awal mendapati punca kemalangan disebabkan motosikal Yamaha Lagenda yang cuba masuk ke jalan susur Manggatal untuk menyeberang jalan lalu berlanggar dengan motosikal ditunggang mangsa yang bergerak lurus,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Kasim berkata, akibat kemalangan, mangsa parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Manakala penunggang motosikal Yamaha Lagenda cedera di kaki dan mendapat rawatan di Zon Kritikal Hospital Queen Elizabeth (HQE I).
“Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
Comments