top of page

Lelaki Serang Jiran Guna Pisau Ditahan

  • nabalunews
  • 7m
  • 1 min read

ree

15 Disember 2025


TAWAU: Polis menahan seorang lelaki selepas dilaporkan menyerang jiran menggunakan pisau hingga cedera dalam kejadian di sebuah bilik sewa di kawasan bandar Tawau, Sabtu lalu.


Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, mangsa berusia 26 tahun dilaporkan cedera di jari dan perut selepas diserang ketika datang ke bilik sewa suspek.


Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Champin Piuh berkata, berdasarkan siasatan, mangsa dikatakan menemui suspek untuk bertanya mengenai perbuatannya yang sering mengganggu wanita tinggal bersendirian di lokasi berkenaan.


Bagaimanapun katanya, sebaik pintu dibuka, suspek secara tiba-tiba mengacukan pisau sebelum bertindak menyerang mangsa.


“Akibat serangan itu, mangsa mengalami kecederaan pada jari dan perut sebelum mendapatkan rawatan.


“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau berjaya mengesan dan menahan suspek warga asing berusia lingkungan 20-an pada jam 11.30 malam,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Menurutnya, polis turut berkaya merampas sebilah pisau lipat yang dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan.


“Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan menggunakan senjata dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.


Sementara itu, Champin menegaskan, pihak polis tidak akan berkompromi terhadap sebarang perbuatan jenayah kekerasan.


Katanya, orang ramai turut dinasihatkan agar tidak mengambil tindakan sendiri, sebaliknya segera membuat laporan sekiranya berdepan ancaman atau mengesan aktiviti mencurigakan.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page