Lelaki warga asing rogol anak saudara hingga hamil diberkas polis
- nabalunews
- 8 hours ago
- 1 min read

11 Januari 2026
TAWAU: Perbuatan terkutuk seorang lelaki warga asing terhadap anak saudaranya sendiri, terbongkar apabila mangsa, 19, disahkan hamil dalam kejadian di sebuah taman perumahan di Jalan Kuhara, di sini.
Suspek, 40an, berjaya diberkas polis kurang 24 jam selepas laporan dibuat oleh seorang wanita tempatan, 52, yang dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh mangsa yang juga anak saudaranya, semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, mangsa memaklumkan kejadian menimpanya sekitar jam 10 malam ketika mangsa berada di rumah ibu saudaranya itu.
"Mangsa mendakwa dirogol oleh lelaki yang juga adik kepada suami wanita terbabit. Mangsa kemudiannya dibawa ke sebuah klinik untuk pemeriksaan kesihatan dan disahkan hamil," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Susulan laporan itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau berjaya menahan suspek warga asing di sebuah bilik sewa sekitar Bandar Sabindo pada jam 3.50 petang, semalam.
Jasmin berkata, hasil siasatan awal turut mendapati suspek mempunyai satu rekod kesalahan lampau berkaitan penyalahgunaan dadah.
Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan kerana kesalahan rogol sumbang mahram serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam jenayah seksual, khususnya yang melibatkan ahli keluarga sendiri.
Beliau juga turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi undang-undang.


















Comments