top of page

Lima sekolah di Tuaran terima manfaat inisiatif CSR SME Bank

  • nabalunews
  • 7 hours ago
  • 2 min read

ree

27 Oktober 2025


TUARAN: Lima sekolah di daerah ini menerima manfaat inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) SME Bank, agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), bagi membantu pelajar dari kalangan keluarga B40 mendapatkan cermin mata baharu.


Sekolah terbabit ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Tuaran; SK Laya Laya Tuaran; Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chen Sin Tuaran; SJKC Chung Hwa Tamparuli, serta SJKC Kok Hwa Tamparuli.


Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, berkata sebanyak RM20,000 diperuntukkan menerusi inisiatif berkenaan merangkumi pemeriksaan mata percuma serta pemberian cermin mata melibatkan 100 penerima manfaat.

ree

“Inisiatif ini membawa makna besar kerana ia menyemai harapan baharu kepada warga sekolah, guru, ibu bapa dan terutama sekali pelajar.


“Ia turut seiring dengan aspirasi Kerangka Ekonomi MADANI yang menyeimbangkan kemajuan ekonomi dan kesejahteraan rakyat agar manfaat pembangunan dinikmati secara saksama,” katanya ketika berucap pada Program Tanggungjawab Sosial Korporat SME Bank di sini, hari ini.


Ewon turut menzahirkan penghargaan terhadap inisiatif SME Bank yang turut mendukung aspirasi KUSKOP dalam memperkasa komuniti B40 di seluruh negara menerusi pelbagai program CSR agensi itu termasuk manfaat kepada lebih 2,000 individu dan komuniti di Sabah.

ree

Usaha ini, katanya, membuktikan SME Bank bukan saja komited dalam memperkasa usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), malah turut prihatin terhadap kesejahteraan masyarakat setempat melalui inisiatif yang memberi impak langsung kepada komuniti.


Program anjuran SME Bank dengan kerjasama Lions Club Tuaran serta Pejabat Pendidikan Daerah Tuaran itu turut dilihat sebagai satu usaha strategik untuk memupuk kerjasama antara agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam memperkasa kesejahteraan komuniti.


“Saya berharap lebih banyak lagi sektor korporat dan syarikat berkaitan kerajaan serta agensi-agensi kerajaan turun ke lapangan untuk membantu masyarakat kita yang memerlukan melalui program CSR masing-masing,” katanya.


Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Keusahawanan) KUSKOP, Datuk Saidatu Akhma Hassan; Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Wilfred Madius Tangau; Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah (Sektor Pengurusan Sekolah), Pejabat Pendidikan Daerah Tuaran, Jamdin Jeman; Pemangku Ketua Pegawai Strategi Korporat SME Bank, Hamdan Mohd Habibollah dan Presiden Lions Club Tuaran, Kapitan Frankie Goh.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page