top of page
  • Wartawan Nabalu News

Lima sekolah rendah Sabah dapat sumbangan untuk naik taraf pusat sumber


21 Oktober 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


SANDAKAN: Sumbangan untuk menaik taraf kelengkapan pusat sumber diberikan kepada lima lagi sekolah rendah di Sabah pada tahun ini.


Dr. Huang Shifang, Konsulat Jeneral Republik China di Kota Kinabalu, berkata sumbangan itu adalah sebahagian daripada inisiatif bersama Yayasan Nur Jauhar (YNJ) untuk menyokong pembangunan pendidikan di negeri ini, terutamanya untuk murid-murid di kawasan luar bandar.


“Pada tahun ini, lima sekolah mendapat sumbangan untuk melengkapkan kemudahan dan bahan bacaan mereka, terutama untuk membantu murid-murid di luar bandar mendapat pengetahuan ekstrakurikuler dan menggalakkan budaya membaca dan literasi saintifik mereka.


“Hari ini, saya sangat lega dan gembira melihat kemudahan membaca yang baru dan selesa untuk murid-murid,” katanya dalam Majlis Perasmian Pusat Sumber Yayasan Nur Jauhar Sekolah Kebangsaan Sipinong.


Selain itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Isteri Yang di-Pertua Negeri Sabah, Toh Puan Norlidah R.M Jasni atas kerjasama yang menunjukkan persahabatan bilateral antara Malaysia dengan negara republik itu.


“Dengan rendah hati, saya sangat berterima kasih kepada kemurahan hati dan ehsan Yang Amat Berbahagia Toh Puan yang telah meninggalkan kesan yang tidak dapat dilupakan dalam komuniti dan generasi seterusnya.


“Sokongan beliau terhadap pendidikan telah memperkasakan generasi baharu dengan menyediakan peluang yang mungkin tidak mereka miliki.


“Komitmennya yang tidak berbelah bahagi terhadap kebajikan masyarakat di Sabah sangat menyentuh hati dan membawa harapan dan kebahagiaan kepada golongan yang memerlukan.


“Bagi rakyat China, kita akan sentiasa menjadi sahabat kepada rakyat di Sabah dan akan terus bekerjasama untuk memberi dorongan kepada pembangunan ekonomi dan sosial serta menyumbangan kepada kesejahteraan rakyat,” jelas beliau.


Pada majlis itu, Toh Puan Norlidah yang juga Penaung YNJ menyerahkan sumbangan daripada badan amal itu dan Jabatan Pendidikan Sabah kepada 114 pelajar di sekolah itu.


Selepas acara perasmian, beliau yang diiringi Guru Besar, Sazahlie Safar turut menyantuni warga sekolah dan para ibu bapa sebelum membacakan buku cerita kepada beberapa orang murid semasa lawatannya di pusat sumber.


Sementara itu, Abidin Marjan, Timbalan Pengarah Pendidikan Sabah, mendedahkan lima buah sekolah yang menerima sumbangan bernilai RM10,000 ialah SK Magandai Kota Marudu, SK Bawang Beluran, SK Pekan Pensiangan, SK Gusi Ranau dan SJK (C) Sin Boon Sindumin.


Sumbangan untuk penyediaan kelengkapan pusat sumber sekolah terbabit disampaikan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin dalam Majlis Jamuan Teh Bersama Kanak-kanak Istimewa dan Anak Yatim sempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Ke-70 di sini.


Pada 18 November lepas, SK Sipinong menerima sumbangan RM15,000 bersama tiga buah sekolah lain iaitu SK Imbak Tongod, Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) (C) PADA Tenom dan SK Sabur Banggi Kudat.

Comments


bottom of page