LRA Telibong 2 dijangka dapat selesai isu air UMS
- Wartawan Nabalu News
- Jan 11, 2024
- 1 min read

11 Januari 2024
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri Sabah III Datuk Shahelmey Yahya berkata, isu bekalan air yang sedang dihadapi Universiti Malaysia Sabah (UMS) dijangka dapat diselesaikan melalui projek naik taraf Loji Rawatan Air (LRA) Telibong 2 Fasa 2 yang telah siap awal bulan lepas.
Jelas beliau, apabila projek itu selesai ia dapat meningkatkan bekalan air bersih kepada UMS dan kawasan sekitarnya.
Kerja-kerja perpaipan akhir untuk projek itu dijangka siap akhir bulan ini sebelum bekalan air bersih tambahan daripada loji berkenaan dapat dibekalkan.
Beliau berkata , UMS memerlukan bekalan air sebanyak 2.98 juta liter sehari, bagaimanapun Jabatan Bekalan Air Sabah hanya dapat membekalkan 2.7 juta liter sehari dan ini menyebabkan gangguan bekalan air berlaku di universiti itu.
Beliau berkata, segala usaha sedang dilakukan untuk memastikan kerja-kerja perpaipan itu disiapkan secepat mungkin, sekali gus menyelesaikan isu mendesak bekalan air yang dihadapi ketika ini.
"Cabaran lain yang dihadapi adalah kecurian air serta vandalisme terhadap rangkaian dan sistem paip di negeri ini yang turut menyumbang kepada masalah itu," katanya dalam kenyataan semalam.
Shahelmey turut merujuk kepada peruntukan RM3 juta yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tahun lepas kepada UMS untuk mengatasi masalah itu.
Beliau berkata, peruntukan itu diberikan secara terus kepada universiti berkenaan.
Terdahulu, Anwar dilaporkan mahu pihak berkaitan mengemukakan laporan teliti berhubung masalah bekalan air yang masih berlarutan di UMS, sedangkan kerajaan telah meluluskan peruntukan RM3 juta tahun lepas bagi mengatasi masalah itu.
Comments