top of page

MA63: Tuntutan 40 Peratus Hasil Sabah Dijangka Dimuktamad September Ini- Fadillah

  • nabalunews
  • Jul 14, 2025
  • 1 min read

14 Julai 2025


KOTA KINABALU: Keputusan berhubung tuntutan 40 peratus hasil Sabah seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963, dijangka dimuktamadkan sebelum sambutan Hari Malaysia, 16 Sept ini.


Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata cadangan penyelesaian mengenai tuntutan itu, telah dikemukakan wakil kerajaan Sabah dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Teknikal di bawah Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) di Menara Kinabalu, di sini hari ini.


Fadillah yang juga pengerusi jawatankuasa itu berkata setiap cadangan penyelesaian dikemukakan, akan dibentangkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebelum mesyuarat MTPMA63 berikutnya yang dijadual pada 12 Sept ini di Kuala Lumpur.

"Di situ nanti kita akan putuskan apa penyelesaiannya sama ada interim atau bagaimana, kerana kita juga mengambil kira ada kes (mahkamah) sedang berjalan sekarang ini (berhubung tuntutan 40 peratus) yang dibawa oleh Majlis Peguam Sabah


"Dari segi perundangan, ada juga perkara yang mengekang untuk kita membuat penyelesaian tanpa keputusan daripada mahkamah.


Tetapi apa yang kita nak cari ialah penyelesaian di luar bidang kuasa mahkamah," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat khas jawatankuasa itu di Menara Kinabalu, di sini hari ini.


Mesyuarat itu turut dihadiri Timbalan Ketua Menteri I Sabah Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick.


Sementara itu, Jeffrey berkata mesyuarat khas itu berlangsung dengan baik dan kerajaan Sabah telah membentangkan cadangan berkaitan tuntutan 40 peratus hasil Sabah yang akan diteliti oleh MTРМА63.-BERNAMA

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page