Madius mahu tempoh lapan tahun kajian persempadanan Parlimen dan DUN dimasukkan dalam Buku Perlembagaan
- nabalunews
- 3 minutes ago
- 2 min read

6 Mac 2026
TUARAN: Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau mahu tempoh lapan tahun bagi urusan kajian semula persempadanan kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dimasukkan secara jelas dalam Buku Perlembagaan bagi mengelakkan sebarang kekeliruan dari segi undang-undang.
Menurutnya, pada masa ini peruntukan yang secara khusus menyebut tempoh lapan tahun itu tidak dinyatakan secara jelas dalam Buku Perlembagaan.
“Ia harus dimasukkan supaya tidak menimbulkan kekeliruan pada masa hadapan mengenai tempoh yang diperlukan sebelum kajian semula persempadanan boleh dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Jumaat.
Terdahulu dalam Soalan Bertulis pada Persidangan Dewan Rakyat baru-baru ini, Madius membangkitkan perkara tersebut kepada Perdana Menteri mengenai bilakah kerajaan akan melaksanakan penambahan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri di seluruh Malaysia serta sama ada Sabah dan Sarawak akan didahulukan.
Dalam jawapan bertulis, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said memaklumkan bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bertanggungjawab melaksanakan urusan kajian semula persempadanan berdasarkan Fasal (2) Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan serta menurut prinsip dan tatacara yang ditetapkan dalam Bahagian I dan II Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan.
Menurut Azalina, urusan kajian semula persempadanan terhadap bahagian-bahagian pilihan raya sedia ada hanya boleh dilaksanakan selepas tamat tempoh lapan tahun atau sekiranya terdapat pindaan undang-undang ke atas komposisi bilangan keanggotaan Ahli Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri.
Beliau memaklumkan, tempoh lapan tahun bagi kajian semula persempadanan di Sarawak telah berakhir pada 21 Ogos 2023 dan SPR kini berada dalam proses akhir penyediaan syor sebelum melaksanakan proses seterusnya seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Kajian itu turut mengambil kira pertambahan 17 kerusi DUN Sarawak yang telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Sarawak pada 7 Julai 2025 dan dikuatkuasakan pada 8 Ogos 2025.
Bagi Sabah pula, tempoh lapan tahun bagi kajian semula persempadanan telah berakhir pada 21 Februari 2025, namun SPR masih belum memutuskan untuk memulakan urusan kajian semula tersebut memandangkan Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17 baru sahaja selesai.
Sementara itu, bagi negeri-negeri di Semenanjung Malaysia, tempoh kajian semula persempadanan terdahulu akan berakhir pada 9 Mac 2026 dan sebarang keputusan mengenai pelaksanaan kajian semula itu akan ditentukan oleh SPR selepas tamat tempoh berkenaan.











