top of page
  • Wartawan Nabalu News

Mahasiswa UMS sumbang ilmu, khidmat masyarakat di Kadamaian


23 Oktober 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA BELUD: Sebuah program komuniti yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa Non Residen (Jakmas NR) bersama Pusat Pengurusan NR dan Fasiliti Perumahan Pelajar (PNRF) Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah berlangsung dengan jayanya di Kampung Ratau, di sini pada Sabtu lalu.


Program Jelajah Mahasiswa Demi Komuniti Ratau (MAHAR'23) bertujuan untuk membentuk mahasiswa yang mempunyai kemahiran berinteraksi dengan masyarakat luar bagi persediaan dalam bidang pekerjaan kelak.


Dalam masa yang sama, program ini juga memupuk nilai kerjasama dan mengeratkan hubungan diantara mahasiswa UMS dengan masyarakat khususnya di Kampung Ratau. Disamping itu, program ini juga memfokuskan kepada penyampaian ilmu berkaitan kesihatan dan penjagaan alam sekitar.


Pengarah Program MAHAR'23, Mohd Nazarruddin Zulkipli yang juga Yang-Dipertua Jakmas NR sesi 2022-2023 UMS, berkata bahawa program ini mendapat sambutan yang sangat baik daripada warga Kampung Ratau.

"Program MAHAR'23 mendapat sambutan yang sangat baik daripada warga Kampung Ratau. Aktiviti yang kami adakan disambut meriah oleh penduduk kampung tanpa mengira umur. Semunya bergembira.


“Harapan saya semoga program begini akan dapat diteruskan untuk masa yang akan datang untuk merapatkan hubungan diantara mahasiswa dengan penduduk kampung agar mereka dapat merasai pengalaman yang tidak akan dapat mereka lupakan.


“Terima kasih kepada Jabatan Perikanan Sabah, Pejabat Kesihatan Daerah Kota Belud, Pejabat Kesihatan Kawasan Tuaran, PNRF dan Institut Marin UMS yang memeriahkan lagi majlis kami. Tidak dilupakan juga para penaja untuk program MAHAR'23," katanya.


Program tersebut telah dirasmikan oleh Pengarah PNRF UMS, Hasmi Hashim dengan kerjasama Jabatan Perikanan Sabah, Pejabat Kesihatan Daerah Kota Belud, Pejabat Kesihatan Kawasan Tuaran, Institut Marin UMS dan JKKK Kampung Ratau turut hadir.


Pelbagai aktiviti menarik telah diadakan sepanjang program ini berlangsung, antaranya adalah pelepasan 1000 bibit ikan daripada Jabatan Perikanan Sabah, penanaman pokok buah-buahan dan herba, sukaneka, cabutan bertuah dan lain-lain lagi.




bottom of page