top of page

Maijol Kekal Sebagai Presiden Persatuan Badminton Sabah (Sba) Bagi Penggal 2025–2029

  • nabalunews
  • Jul 11, 2025
  • 2 min read

11 Julai 2025


KOTA KINABALU: Datuk Maijol Mahap kekal sebagai Presiden Persatuan Badminton Sabah (SBA) baharu bagi penggal 2025 hingga 2029.


Beliau mendapat 33 undi daripada 38 perwakilan menerusi proses pemilihan yang berlangsung dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-70 yang diadakan di Hotel Ming Garden, di sini, Sabtu lalu.


Maijol ketika ditemui berkata, beliau amat berbesar hati untuk menerima mandat besar yang diberikan semua perwakilan yang hadir pada AGM SBA kali ini.


Katanya, ia adalah satu penghargaan yang tinggi kepada beliau atas kepercayaan yang diberikan kepadanya sepanjang menerajui SBA.


“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua perwakilan daripada 19 daerah kerana telah datang dan melengkapkan agenda kita pada hari ini termasuklah pemilihan penting untuk majlis SBA.


“Saya ingin menzahirkan komitmen untuk terus memperkukuhkan pembangunan badminton di peringkat akar umbi serta mempertingkatkan pencapaian atlet badminton Sabah di peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” katanya.


Menurutnya, pemilihan kali ini adalah satu proses penting dalam memastikan kepimpinan SBA terus diterima dan berfungsi secara sah menurut perlembagaan persatuan.


“Terima kasih atas kepercayaan dan keyakinan yang diberikan kepada saya untuk menerajui SBA selama empat tahun ini. Kami akan lakukan yang terbaik demi sukan badminton di Sabah,” katanya.


Sementara itu, Maijol turut memaklumkan Suriansa A.Kadir dipilih sebagai Timbalan Presiden manakala Naib Presiden pula disandang oleh John Baru, Sudirman Abas, Sanif Alfia dan Ag Damit A.Bakar.


Katanya, Ahli Majlis Tertinggi pula dimenangi oleh Roger Langgau, Dr Joinis Longkiad, Khoo Chui Eng, Abd Husin Sairi, Sumitah Hassan dan Jimin Tibin.


“Bagi jawatan lantikan pula, Anthony Liaw dilantik sebagai Naib Presiden, Rechine Jikah sebagai Setiausaha Kehormat dan Samsuddin Abu Bakar Gait sebagai penolongnya. Manakala Bendahari Kehormat disandang oleh Felix Francis Ganang dan penolongnya Steeve Koh.


“Manakala Ahli Majlis Tertinggi lantikan ialah Ag.Ku Mohd Yazri Ag.Ku Mohd Yahaya, Androw Celyron Sindeh, Lily Lidond dan Dr Ovelyn Matanluk,” katanya.


Menurut Maijol, beliau dan barisan kepimpinan baharu akan terus berusaha membawa SBA ke tahap yang lebih cemerlang, dengan semangat satu hati demi kemajuan badminton di seluruh negeri.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page