Majlis Apresiasi dan Penamatan Murid Prasekolah serta Tahun 6 SK Kaung Meriah
- nabalunews
- 18 hours ago
- 2 min read

17 Disember 2025
KOTA BELUD: Sekolah Kebangsaan (SK) Kaung telah menganjurkan Majlis Apresiasi dan Penamatan Murid Prasekolah serta Tahun 6 bagi Sesi 2025/2026 dengan penuh meriah dan bermakna di perkarangan sekolah, hari ini.
Majlis yang berlangsung dari jam 7.30 pagi hingga 12.30 tengah hari itu dimulakan dengan penyerahan slip keputusan peperiksaan kepada murid mengikut kelas masing-masing dari jam 7.30 pagi hingga 8.30 pagi, dengan kehadiran ibu bapa dan penjaga yang memberikan sokongan padu kepada anak-anak.
Acara diteruskan dengan ucapan wakil murid oleh Cherrlyn May Hilary yang menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada para guru atas bimbingan, dorongan serta sokongan berterusan sepanjang sesi persekolahan. Seterusnya, ucapan alu-aluan disampaikan oleh Guru Besar SK Kaung, Puan Noerasdarinar Saidil, yang merakamkan penghargaan kepada semua pihak, khususnya Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), atas kerjasama erat dalam menjayakan program sekolah serta komitmen berterusan terhadap kecemerlangan murid.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Yang Dipertua PIBG SK Kaung, Danius Yangkat. Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan peranan dan sokongan ibu bapa dalam pendidikan anak-anak, di samping mengucapkan tahniah kepada murid prasekolah dan Tahun 6 yang berjaya menamatkan sesi persekolahan dengan jayanya. Pelbagai pengisian menarik turut diadakan sepanjang majlis, termasuk persembahan murid, cabutan bertuah serta aktiviti makan bersama yang mengeratkan hubungan silaturahim antara warga sekolah dan PIBG.
Kemuncak majlis menyaksikan penyampaian Anugerah Akademik bagi mata pelajaran terbaik setiap kelas, Anugerah Sahsiah Terbaik Sesi 2025/2026 SK Kaung serta Anugerah Pembaca Terbanyak. Penyampaian anugerah ini bertujuan mengiktiraf pencapaian murid dalam bidang akademik, pembentukan sahsiah terpuji serta pengamalan budaya membaca.

Secara keseluruhannya, majlis ini bukan sahaja menjadi wadah penghargaan kepada murid, malah mencerminkan komitmen berterusan SK Kaung dalam melahirkan generasi yang seimbang, berakhlak mulia dan berdaya saing.


















Comments