Majlis Apresiasi UPKO Bandau Hargai Komitmen Jentera, Penyokong
- nabalunews
- 3 minutes ago
- 2 min read

16 Disember 2025
KOTA MARUDU: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Cawangan Bandau baru-baru ini menganjurkan Majlis Apresiasi dan Penghargaan khas buat jentera pilihan raya dan penyokong setianya, sebagai mengenang jasa dan mengukuhkan perpaduan selepas Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
Majlis santai itu diadakan bagi merakamkan penghargaan atas komitmen dan kesungguhan semua pihak yang terlibat sepanjang tempoh kempen pilihan raya lalu.
Ketua Jawatankuasa Hubungan Antara Kaum (CLC) UPKO Bandau, Suzie Salapan, dalam ucapannya menyampaikan penghargaan tertinggi kepada seluruh jentera dan penyokong.

“Saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh jentera serta para penyokong yang telah bekerja keras dan setia bersama saya sepanjang tempoh kempen yang lalu,” katanya.
Beliau menekankan bahawa rasa syukur tidak seharusnya diukur semata-mata dengan kemenangan, tetapi juga dengan nikmat keselamatan dan kekuatan yang dikurniakan.
“Kesyukuran juga hadir apabila kita diberi kekuatan, keselamatan dan perlindungan Tuhan, khususnya apabila semua jentera berada dalam keadaan baik dan selamat sepanjang perjalanan kempen ini,” ujarnya.

Suzie turut menyatakan bahawa keputusan pilihan raya lalu bukanlah pengakhiran, malah ia dianggap sebagai satu permulaan baru untuk parti bangkit dengan lebih kukuh.
“Kegagalan bukanlah noktah kepada perjuangan, sebaliknya menjadi titik permulaan untuk kita bangkit dengan lebih matang, lebih kuat dan lebih tersusun pada masa hadapan,” tegasnya.
Beliau berharap majlis ringkas tersebut dapat terus mengukuhkan ikatan silaturahim dan semangat kebersamaan dalam kalangan keluarga besar UPKO Bandau.
Mengulangi komitmen parti, Suzie menyatakan bahawa UPKO CLC Bandau akan konsisten meneruskan perjuangan sebagai pengantara antara rakyat dengan kerajaan.
“Kami menyokong penuh usaha dan hala tuju Presiden dalam memastikan agenda Sabah First dapat dilaksanakan dan dirasai manfaatnya di peringkat akar umbi,” katanya.
Dalam PRN17, Suzie Salapan yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandau atas tiket UPKO, terlibat dalam pertandingan 13 penjuru. Kerusi tersebut akhirnya dimenangi oleh calon bebas, Datuk Dr. Maijol Mahap.
Majlis yang diadakan secara santai itu diakhiri dengan harapan untuk terus memelihara semangat berpasukan dan kesediaan berkhidmat untuk masyarakat.














