Majlis Iftar IPD Kota Belud Eratkan Silaturahim Warga PDRM
- nabalunews
- Feb 25
- 1 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns
25 Februari 2026
KOTA BELUD: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud telah menganjurkan Majlis Iftar Ramadan di Dewan Sri Nabalu, baru-baru ini. Program yang bertujuan mengeratkan ukhuwah dalam kalangan warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu telah dihadiri oleh Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (KJPJKK) Kontinjen Sabah, SAC Datuk Mohd Azhar Hamin serta isteri, Wan Hurani Osman.
Turut hadir Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Shahrudin Mat Husain bersama isteri, barisan pegawai kanan, pegawai rendah polis, anggota awam serta ahli keluarga masing-masing. Kehadiran pemimpin tertinggi dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah itu menunjukkan eratnya hubungan silaturahim antara IPD Kota Belud dan IPK Sabah.
Sebelum waktu berbuka, majlis dimulakan dengan penyampaian sumbangan ikhlas kepada anak-anak Rumah Yatim Darul Bakti Kota Belud. Inisiatif tersebut merupakan manifestasi tanggungjawab sosial polis dalam menyantuni komuniti setempat. Selain itu, hadirin turut diingatkan tentang nilai integriti dan amanah dalam tugas menerusi tazkirah Ramadan yang diselitkan sebagai pengisian rohani.

Program diakhiri dengan solat berjemaah dan moreh sekali gus menjadikan majlis ini lebih bermakna, bukan sekadar acara berbuka puasa, tetapi simbol perpaduan erat demi kelestarian keselamatan komuniti.















Comments