top of page

Majlis Makan Malam Tahunan SMK Narinang Sarat dengan Muatan Kenangan dan Appresiasi

  • nabalunews
  • 6 minutes ago
  • 2 min read

ree

14 Disember 2025


KOTA BELUD: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Narinang telah mencipta satu lagi lembaran kenangan dengan menganjurkan Majlis Makan Malam Tahunan 2025, bertemakan ‘Bersama Mencipta Kenangan’, di dewan sekolah tersebut, pada malam semalam.


Majlis yang penuh meriah dan bersemangat kemasyarakatan itu telah disempurnakan oleh Ahli Parlimen Kota Belud, Yang Berhormat Isnaraisah Munirah Majelis, yang juga merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Usukan.


Kehadiran tetamu kehormat turut diserikan oleh Setiausaha Politik kepada Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Carlye Lajimin, mewakili Datuk Ewon Benedick.


Dalam ucapan aluan, Pengetua SMK Narinang, Soo Yong Huat, melahirkan rasa syukur dan terima kasih atas kehadiran serta sokongan berterusan semua pihak.


Beliau turut mengucapkan tahniah kepada barisan ADUN yang berjaya dalam pilihan raya baru-baru ini dan menyatakan harapan agar kerjasama erat dapat diteruskan untuk memacu pembangunan pendidikan, khususnya di SMK Narinang.


“Tahun 2025 menyaksikan SMK Narinang bukan sekadar mengekalkan tradisi kecemerlangan dalam bidang akademik, malah turut mencapai gemilang dalam aspek kokurikulum dan pembangunan sahsiah pelajar,” ujar Soo, sambil menyampaikan penghargaan tertinggi kepada semua warga pendidik atas dedikasi dan komitmen mereka.


Sementara itu, dalam ucapan ringkasnya, Isnaraisah mengucapkan syabas dan tahniah kepada pengurusan sekolah atas penganjuran majlis yang begitu teratur dan berjaya. Beliau turut mendoakan agar tradisi kecemerlangan serta semangat komuniti yang ditampilkan pada malam tersebut akan terus berkekalan di SMK Narinang.


Majlis tersebut turut menjadi platform khas untuk merakamkan penghargaan kepada alumni sekolah yang hadir. Kehadiran mereka menandakan ikatan yang kekal erat dan sokongan berterusan komuniti terhadap alma mater, sekali gus mengukuhkan hubungan silaturahim antara generasi.


Sepanjang majlis berlangsung, para hadirin dihiburkan dengan pelbagai acara menarik termasuk cabutan bertuah dan persembahan nyanyian khas daripada barisan guru yang berjaya membangkitkan semangat nostalgia dan keseronokan.


Dengan kejayaan majlis ini, SMK Narinang sekali lagi membuktikan komitmennya dalam melahirkan pelajar yang cemerlang bukan sahaja dari segi intelek, tetapi juga membina perpaduan dan memelihara warisan hubungan yang erat antara sekolah dengan komuniti setempat.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page