top of page

Mangsa ribut di Kampung Pinolobuh dibantu

nabalunews

29 November 2024


KOTA BELUD: Penduduk Kampung Pinolobuh di sini yang terkesan akibat kejadian ribut kencang baru-baru ini menerima bantuan berupa bahan binaan untuk memperbaiki kerosakan struktur di beberapa bangunan dan rumah.


Antara struktur bangunan yang terjejas dalam bencana alam itu termasuk bumbung bilik jagaan bayi dan Dewan Serbaguna Gereja Seventh-Day Adventist (SDA) Kampung Pinolobuh.


Selain itu, tiga buah rumah milik penduduk, iaitu Inang Pulanggah, Dihal Salanggo, dan Solumoi Kiban@Tiban, turut mengalami kerosakan pada bahagian atap akibat angin kencang.


Bantuan bahan binaan ini disumbangkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick dan disampaikan oleh Penyelia Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kadamaian, Joel Deukin, hari ini.


Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Pinolobuh, Jalni Mison, mewakili tiga keluarga penerima sumbangan tersebut.


Manakala Mensin Lihuan mewakili pihak gereja SDA.


“Sumbangan ini amat bermakna untuk membolehkan pembaikan segera dijalankan, khususnya bagi memastikan bangunan dan rumah yang terjejas dapat digunakan semula seperti biasa,” kata Jalni.


Jalni turut menyampaikan penghargaan bagi pihak semua penerima sumbangan kepada Ewon atas keprihatinan dan bantuan segera yang diberikan.


"Kami amat menghargai keprihatinan Ewon serta pasukan beliau dalam membantu kami membaik pulih kerosakan ini," ujarnya.


Joel berkata bantuan ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan Ewon untuk membantu penduduk yang mengalami kesukaran akibat bencana.


"Inisiatif ini mencerminkan komitmen Ewon dalam menjaga kebajikan rakyat di kawasan beliau, khususnya ketika berdepan musibah," katanya.


Menurut Joel, beliau bersama Ketua Pegawai Perhubungan ADUN Kadamaian, Carlye Lajimin, telah turun padang sejurus selepas kejadian ribut itu untuk menilai kerosakan dan mengenal pasti keperluan penduduk yang mendesak.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page