- Wartawan Nabalu News
Maritim Malaysia lancar operasi hadapi ancaman penyeludupan PATI menjelang Aidilfitri
27 Mac 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KUALA LIMPUR: Operasi khas musim perayaan bakal dilancarkan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) untuk menangani ancaman penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara ini menjelang Aidilfitri.
Menurut Pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim, sindiket penyeludup PATI mungkin mengambil kesempatan pada bulan Ramadan dengan menawarkan perkhidmatan haram bot pancung melalui media sosial kepada PATI yang ingin pulang ke negara asal secara tidak sah.
Beliau berkata, Maritim Malaysia telah mengesan trend dan lokasi sasaran sindiket di perairan Selat Melaka dari Pulau Pinang hingga ke timur Johor dan akan meningkatkan pengawasan dan rondaan keselamatan di kawasan berkenaan.
"Kita juga memperbanyakkan lagi rondaan keselamatan menerusi aset laut dan udara di kawasan yang telah dikenal pasti menjadi sasaran sindiket terutama di kawasan berhampiran negara jiran sama ada di Selat Melaka dan timur Sabah," katanya.
Beliau juga menegaskan bahawa Maritim Malaysia akan bekerjasama dengan agensi lain untuk mengumpulkan maklumat dan membanteras aktiviti sindiket ini.
Oleh itu, beliau menyeru orang ramai khususnya komuniti maritim untuk memberi maklumat berkaitan penyeludupan PATI ini kepada pihak berkuasa.
Comments