top of page

Marudu CT FC Juara Karnival Bolasepak 9 Sebelah Piala UPKO 2025 Zon A

  • nabalunews
  • Aug 25
  • 2 min read

ree

25 Ogos 2025


KOTA MARUDU: Pasukan Marudu CT FC berjaya menjuarai Karnival Bolasepak 9 Sebelah Piala UPKO 2025 Zon A yang melibatkan penyertaan pasukan dari daerah Kudat, Kota Marudu dan Kota Belud. Pertandingan berprestij tersebut berlangsung selama dua hari pada 23 dan 24 Ogos lalu dengan penyertaan sebanyak 22 pasukan.


Bagi peringkat awal, perlawanan diadakan di Padang Kampung Tagaroh dan Padang Kampung Pinatau, manakala perlawanan akhir serta majlis penutupan rasmi berlangsung di Padang Kampung Tagaroh. Majlis penutupan telah disempurnakan oleh Ketua Pemuda UPKO Malaysia, Felix Joseph Saang, yang turut menyampaikan piala kejuaraan kepada pasukan pemenang.


Felix berkata, penganjuran kejohanan ini bukan sahaja bertujuan mencungkil bakat baharu dalam arena bola sepak, malah menjadi landasan untuk memupuk amalan gaya hidup sihat serta mengeratkan hubungan baik antara komuniti, golongan belia dan para pemimpin.

ree

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pasukan yang menyertai kejohanan serta mengucapkan tahniah kepada Ahli Jawatankuasa Pelaksana(AJK) yang diketuai oleh Ketua Pemuda UPKO Kota Marudu, Pillexson James yang berjaya mengendalikan acara dengan jayanya.


Naib juara diraih oleh pasukan Pamakoy FC dari Kota Marudu, manakala tempat ketiga disandang pasukan Terintidon FC dari Kota Belud. Terintidon FC turut menerima pengiktirafan sebagai Pasukan Terbaik, selain pengurus mereka dianugerahkan Pengurus Terbaik kejohanan.

ree

Bagi kategori individu, pemain Marudu CT FC dipilih sebagai Penjaga Gol Terbaik, manakala pemain Pamakoy FC berjaya meraih dua pengiktirafan iaitu Penjaring Terbanyak serta Pemain Terbaik.


Majlis penutup turut dihadiri beberapa pemimpin UPKO yang hadir memberikan sokongan, antaranya Ketua Bahagian UPKO Kota Marudu, Jamil Majingkin, Ketua Bahagian UPKO Kudat, Junsim Rumunzing, Ketua Jawatankuasa Hubungan Antara Kaum (CLC) UPKO Bandau, Suzie Salapan, serta Ketua Pemuda UPKO Kota Belud, Jolyhame Saran.

ree

Kejayaan Marudu CT FC ini sekali gus mengharumkan nama Kota Marudu di peringkat Zon A dan akan mewakili Zon A berentap di pusingan akhir antara zon serta menjadi pemangkin kepada perkembangan sukan bola sepak dalam kalangan belia di daerah ini.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page