top of page

MASALAH BANJIR DI TENGHILAN SUDAH DIKEMUKAKAN KEPADA PIHAK BERWAJIB

  • nabalunews
  • Dec 14, 2020
  • 2 min read


14 Dis 2020


TAMPARULI: Masalah banjir yang semakin sering dihadapi penduduk khususnya sekitar Pekan Tenghilan mutakhir ini sudah diadukan kepada pihak berwajib.


Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Jahid Jahim memaklumkan, beliau telah meminta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk meneliti langkah wajar untuk mengurangkan risiko banjir di kawasan berkenaan.


“Saya telah meminta (JPS) menggunakan sepenuhnya kepakaran mereka untuk mencari jalan bagi menyelesaikan permasalahan ini,” katanya.


Beliau berkata demikian kepada New Sabah Times ketika membuat tinjauan projek menaik taraf Padang Pekan Tenghilan di sini pada Sabtu.


Untuk rekod, pada tahun ini sahaja kawasan pekan dan kampung- kampung sekitar beberapa kali ditenggelami air sehingga paras 1 meter dimana kejadian terburuk berlaku Oktober lalu.


Setiap kali banjir besar berlaku, penduduk berdepan masalah lumpur di rumah mereka yang dinaiki air termasuk kerugian dihadapi para peniaga di pekan ini membabitkan pekedai dan pemilik gerai perniagaan di kawasan tamu.


Turut terjejas beberapa bangunan termasuk Dewan Masyarakat, gereja dan sekolah antaranya Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan© (SJKC) Chung Hwa Tenghilan, Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Tenghilan dan juga Sekolah Menengah St. James Tenghilan.


Rata-rata penduduk menyatakan kebimbangan bencana sama berulang sekiranya tidak ada langkah segera diambil oleh pihak berkaitan termasuk pengubahsuaian Sungai Sulaman, satu-satunya saluran pengaliran air di sini.


Mengulas lanjut, Jahid menyatakan keyakinan JPS memiliki pakar yang mampu meneliti seterusnya membuat perancangan sebagai langkah penyelesaian masalah dihadapi penduduk.


Beliau juga berkata akan terus berkomunikasi dengan JPS dengan mengambil langkah susulan mengenalpasti perkembangan berkaitan.


Mengulas perkembangan kerja-kerja menaik taraf padang Pekan Tenghilan, beliau berpuas hati dengan pelaksanaan fasa pertama projek itu dan berkeyakinan akan dimanfaatkan penduduk mukim ini selepas siap.


Padang berukuran sederhana ini juga dicadangkan untuk dilengkapi dengan trek jogging sepanjang lebih 250 meter.


Selepas tinjauan itu Jahid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli turut mengadakan lawatan ke rumah penduduk di Kampung Molisau dan Kampung Paru, meninjau jalan raya di Kampung Lapai, menziarahi penduduk yang sakit, seterusnya menyantuni penduduk di Topokon.


Antara yang turut serta pada lawatan itu Penolong Pegawai Daerah (ADO) Kecil Tamparuli Herman Tunggiging, Setiausaha Politik Menteri Pembangunan Luar Bandar Jilias Lintar, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Tamparuli Madin Anak dan Pengerusi Kelab Penyokong Jahid Jahim (KPJJ) Junaidy Azamain. - OLEH RAPHIEL PINUS/ NEW SABAH TIMES


 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page