MBS gesa pemimpin Sabah telus dalam pembangunan rakyat
top of page
  • Wartawan Nabalu News

MBS gesa pemimpin Sabah telus dalam pembangunan rakyat


18 Januari 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Majlis Belia Sabah (MBS) memberi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta barisan kabinet Kerajaan Persekutuan di atas keprihatinan serta kepercayaan beliau kepada Kerajaan Sabah untuk menguruskan sistem pentadbiran serta pembangunan yang melibatkan kepentingan rakyat Sabah sendiri.


Timbalan Presiden Majlis Belia Sabah (MBS), Mohd. Nur Hilmie Milus berkata, keputusan ini adalah bukti bahawa Perdana Menteri serius dalam meraikan permintaan Sabah-Sarawak menerusi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang sering dibangkitkan.


Namun demikian katanya, segala pengumuman dan kelebihan yang diberikan oleh Perdana Menteri ke-10 ini tidak akan sampai atau dirasai oleh rakyat Sabah jika para pemimpin Sabah terus bergelut dan berebut sesama sendiri hanya untuk mendapatkan kuasa tertinggi pentadbiran kerajaan.


“Sehubungan dengan itu, MBS membuat gesaan dan peringatan kepada para pemimpin Sabah untuk sentiasa telus, prihatin, empati dan memikirkan terhadap nasib rakyat Sabah yang mahu merasai nikmat pembangunan yang telah dirangka oleh kerajaan Sabah menerusi Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang telah diilhamkan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor.


“Pelan yang telah dirangka dalam tempoh lima tahun (2021-2025) tersebut pasti belum terlaksana sepenuhnya kerana bulan ini (Januari 2023) baru memasuki tahun ketiga selepas Pelan SMJ itu dilancarkan.


“Dengan kemudahan pengurusan kuasa kawal selia gas dan autonomi meluluskan dana pembangunan di bawah RM50 juta, ditambah lagi dengan pengambilalihan 25 peratus ekuiti Petronas Chemicals Fertiliser Sabah Sdn. Bhd. (PCFS) oleh SMJ Sdn. Bhd. yang membolehkan Kerajaan Sabah memperolehi keuntungan lebih besar serta lain-lain usaha kerajaan negeri, MBS percaya bahawa ekonomi Sabah akan terus berkembang dan hal ini akan membantu mempercepatkan perlaksanaan agenda-agenda pembangunan rakyat Sabah.


“Oleh yang demikian, MBS sekali lagi memberi penekanan dan gesaan agar para pemimpin Sabah khususnya yang menduduki 73 kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di seluruh Sabah ini untuk fokus dan memberikan perhatian sepenuhnya kepada kerja-kerja merealisasikan agenda pembangunan rakyat.


“Ketepikanlah segala perbezaan dan persengketaan demi membela nasib orang Sabah. Buat masa ini dan sekarang, teruskanlah berkhidmat dan berbakti kepada rakyat khususnya di kawasan masing-masing dengan memberikan kepercayaan kepada pentadbiran kerajaan yang sedia ada, yang kini dipimpin oleh Datuk Seri Hajiji Haji Noor sebagai Ketua Menteri.


“Berbincang, bermusyawwarah dan berdebatlah di dalam persidangan DUN jika ada yang yang ingin menegur atau tidak bersetuju, bukannya dengan menarik sokongan sehingga menjadikan kerajaan tidak stabil,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Menurutnya, hal ini akan menyebabkan Kerajaan Negeri Sabah sentiasa seperti di atas titian yang boleh terjatuh bila-bila masa, hanya kerana sikap pemimpinnya yang sentiasa bertelagah bagai air dengan minyak dan saling ugut-mengugut.


“Hasilnya pembangunan dan kemajuan negeri Sabah menjadi perlahan disebabkan fokus yang selalu terganggu. MBS sentiasa mengharapkan yang terbaik untuk Sabah,” katanya.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page