MCCC Sabah Perkukuh Usaha Strategi Hubungan Ekonomi Malaysia-China
- nabalunews
- 48 minutes ago
- 2 min read

25 April 2026
KOTA KINABALU: Barisan Kepimpinan baharu Dewan Perniagaan Malaysia-China Sabah (MCCC) akan memperkukuh hubungan ekonomi kedua negara menerusi kepimpinan yang lebih progresif dan inklusif.
Presiden MCCC Sabah, Datuk Dexter Lau, berkata pihaknya juga akan terus mempergiat usaha menarik pelaburan berskala besar ke Sabah dan Malaysia menerusi pendekatan baharu yang menekankan pemahaman budaya serta hubungan strategik.
Katanya, penganjuran Majlis Gala Tahunan MCCC Sabah tahun ini dilaksanakan dalam skala luar biasa sebagai platform memperkukuh hubungan antara pelabur dari China dan Sabah.

“Acara pada malam ini adalah luar biasa kerana kita bukan sahaja mahu menarik pelaburan, tetapi juga memainkan peranan dalam membentuk landskap ekonomi melalui hubungan yang lebih kukuh antara komuniti perniagaan.
“Sabah secara umumnya mengharapkan kemasukan pelaburan yang lebih besar bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri,” katanya kepada media sebelum majlis gala berlangsung pada Sabtu malam.
Dexter berkata, menerusi pengalaman dalam dunia korporat, pemahaman terhadap budaya, hubungan kerjasama serta keunikan setiap wilayah di China adalah aspek penting untuk menarik pelaburan.

“Tahun ini merupakan titik perubahan bagi MCCC Sabah. Kita tidak memberi fokus kepada urusan perniagaan semata-mata pada malam ini, sebaliknya kita menekankan membina hubungan baik.
“Hubungan ini hanya dapat dibina melalui pemahaman budaya dan tradisi. China mempunyai pelbagai wilayah dengan budaya yang berbeza, justeru kita perlu memahami perbezaan ini untuk berkomunikasi dengan lebih berkesan,” katanya.
“Sebagai simbol pendekatan, kita memilih Peking Opera sebagai tema utama acara, memandangkan ia merupakan seni persembahan yang dikenali secara meluas dalam komuniti Cina.

“Usaha ini juga bertujuan memperkenalkan elemen budaya yang kurang didedahkan di luar China, sekali gus memperluaskan kefahaman dalam kalangan komuniti tempatan dan antarabangsa,” katanya.
Sementara itu, Dexter berkata, acara gilang-gemilang itu berjaya menarik perhatian meluas dengan capaian tontonan mencecah ratusan juta menerusi laman rasmi rangkaian dewan perniagaan.
“Apa yang kita lakukan adalah mempromosikan Sabah kepada dunia. Apabila lebih ramai pelawat datang, ia akan memberi manfaat kepada sektor perniagaan dan ekonomi secara keseluruhan,” katanya.
Dexter berkata, beliau yakin pendekatan berasaskan hubungan dan budaya ini mampu menjadi pemangkin kepada kemasukan pelaburan berkualiti serta memperkukuh kedudukan Sabah sebagai destinasi strategik di rantau ini.















Comments