Menghalang Lalu Lintas. 36 Saman Dikeluarkan
- nabalunews
- 2 hours ago
- 1 min read

8 Januari 2026
PENAMPANG: Sebanyak 36 saman dikeluarkan terhadap kenderaan yang diletakkan secara salah sehingga mengganggu kelancaran lalu lintas di kawasam K Avenue, Jalan Kondudungan Ganang, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, tindakan itu dibuat susulan aduan awam yang diterima berhubung kenderaan yang diletakkan di kawasan tidak dibenarkan.
“Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang menerima satu aduan awam berkaitan beberapa kenderaan yang diletakkan di kawasan tidak dibenarkan sehingga menyebabkan halangan serta gangguan lalu lintas di kawasan berkenaan.

“Prihatin dan proaktif terhadap aduan yang diterima, pihak Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Penampang telah bertindak segera dengan melaksanakan operasi penguatkuasaan di lokasi berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, sepanjang operasi berkenaan, sebanyak 36 keping saman atas pelbagai kesalahan telah dikeluarkan terhadap kenderaan yang melakukan kesalahan lalu lintas melibatkan parkir menghalang dan halangan jalan.
Sehubungan itu, memaklumkan operasi itu akan terus dilaksanakan bagi meningkatkan kesedaran orang ramai supaya sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas.

Katanya, ia juga bagi mengurangkan kesesakan jalan raya serta memastikan kelancaran dan keselamatan semua pengguna jalan raya.
“Operasi seumpama ini akan diteruskan dari semasa ke semasa dan orang ramai juga dinasihatkan agar sentiasa mematuhi undang-undang serta peraturan jalan raya sedia ada demi mewujudkan persekitaran yang selamat dan harmoni,” katanya.














