Mesyuarat AJK UPKO Sipitang Perkukuh Persiapan Mesyuarat Agung Tritahunan
- nabalunews
- 2 days ago
- 2 min read

8 Februari 2026
SIPITANG: Mesyuarat Ahli Jawatankuasa (AJK) Bahagian Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Sipitang berjaya diadakan dengan lancar, semalam.
Ia sekali gus menjadi platform penting bagi menyelaras hala tuju serta perancangan strategik parti di peringkat bahagian.
Mesyuarat yang disempurnakan Ketua Bahagian UPKO Sipitang, Datuk Pangiran Lalung, dihadiri oleh barisan kepimpinan bahagian serta wakil-wakil AJK dari seluruh kawasan Sipitang.

Pangiran dalam ucapannya berkata, antara fokus utama mesyuarat adalah persiapan awal bagi menghadapi Mesyuarat Agung Tritahunan UPKO Bahagian Sipitang.
Katanya, ia selaras dengan peruntukan serta kehendak yang termaktub dalam Perlembagaan Parti UPKO.
“UPKO Sipitang perlu melakukan persiapan yang rapi, dan tersusun bagi memastikan Mesyuarat Agung Tritahunan kali ini dapat dilaksanakan dengan lancar, teratur dan mematuhi semua peraturan parti.

“Saya juga menekankan kepentingan komitmen penuh daripada setiap ahli jawatankuasa bahagian agar segala gerak kerja parti dapat dijalankan secara efektif dan berkesan, khususnya dalam tempoh persiapan menjelang mesyuarat agung,” katanya.
Menurutnya, disiplin organisasi dan kerjasama berpasukan merupakan tunjang utama kepada kekuatan sesebuah parti politik, sekali gus mencerminkan tahap profesionalisme serta kredibiliti UPKO di mata rakyat.
Katanya, mesyuarat ini juga membincangkan langkah-langkah bagi memperkukuhkan jentera parti di peringkat akar umbi.
“Ia termasuk usaha memperkasakan peranan cawangan serta meningkatkan penglibatan ahli dalam aktiviti parti.
“Selain itu, penambahbaikan dari segi komunikasi dalaman dan penyelarasan program parti turut diberi perhatian bagi memastikan setiap arahan dan keputusan parti dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan,” katanya.
Sementara itu, Pangiran menegaskan semua ahli mesyuarat digalakkan agar menyuarakan pandangan serta cadangan konstruktif bagi mempertingkatkan prestasi dan kesiapsiagaan parti, khususnya dalam mendepani cabaran politik semasa di peringkat bahagian.
“Mesyuarat AJK Bahagian UPKO Sipitang ini mencerminkan kesungguhan kepimpinan dan ahli parti untuk terus memperkukuh struktur organisasi serta memastikan UPKO kekal relevan, tersusun dan bersedia menghadapi agenda perjuangan parti pada masa hadapan,” katanya.


















Comments