top of page

Mini Karnival KPKM perkukuhkan agenda merakyatkan pertanian

  • nabalunews
  • Oct 19
  • 2 min read

Arthur menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Pasar Tamu Kampung Karamatoi Laut Sook.
Arthur menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Pasar Tamu Kampung Karamatoi Laut Sook.

19 Oktober 2025


SOOK: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) terus memperkukuhkan agenda merakyatkan pertanian dengan penganjuran Mini Karnival KPKM Pertanian Untuk Semua yang berlangsung di Kampung Karamatoi Laut, Sook.


Program ini merupakan manifestasi kesungguhan Kerajaan Persekutuan dalam memastikan sektor agromakanan tidak hanya tertumpu di bandar atau kawasan tumpuan ekonomi semata-mata, malah turut memberi perhatian di pedalaman dan luar bandar.


Karnival ini menjadi wadah penting untuk memupuk minat masyarakat terhadap sektor pertanian, memasyarakatkan teknologi baharu serta mengiktiraf pertanian sebagai sumber kerjaya dan pendapatan yang berdaya maju.


Timbalan Menterinya, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata Sabah, khususnya daerah pedalaman seperti Sook, Nabawan dan Keningau, mempunyai kelebihan dari segi tanah yang luas, sumber semula jadi serta tenaga kerja yang berpotensi digembleng untuk pembangunan sektor agromakanan.


"Dengan keluasan tanah yang masih boleh diteroka, kawasan pedalaman berpotensi besar untuk menjadi pusat pengeluaran tanaman makanan asas seperti padi, sayuran, buah-buahan dan juga ternakan" katanya.


Mini Karnival anjuran Lembaga Pertubuhan Peladang itu turut menggembleng agensi di bawah KPKM seperti LKIM, FAMA, MARDI dan Agrobank dalam mewujukan platform penting yang memberi pendedahan kepada para petani, penternak, nelayan dan usahawan tani mengenai peluang pasaran, teknologi moden dan sokongan yang ditawarkan.  


Dengan sokongan berterusan daripada agensi di bawah KPKM dan penglibatan aktif komuniti, sektor pertanian di Sabah diyakini mampu menjadi nadi utama pembangunan ekonomi setempat.


Mini Karnival KPKM ’Pertanian Untuk Semua’ diharap menjadi pencetus kesedaran bahawa pertanian bukan hanya satu pilihan, tetapi sebuah peluang besar untuk membina masa depan yang lebih mapan.


Terdahulu, Arthur yang juga Ahli Parlimen P.182 Pensiangan turut menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Pasar Tamu Kampung Karamatoi Laut Sook.


Projek naik taraf Pasar Tamu Kampung Karamatoi Laut adalah pasar tamu yang ke-53 di naik taraf oleh FAMA pada tahun 2025.


Pasar Tamu ini akan menempatkan seramai 80 orang peniaga dan dijangkakan siap sepenuhnya pada hujung Disember 2025.


Selain Tamu Kampung Karamatoi Laut, sebanyak 4 lagi projek menaik taraf tamu sedang dalam pembinaan iaitu Tamu Kanibongan, Pitas, Tamu Gadong, Beaufort, Tamu Dataran Bengkoka, Pitas dan Tamu Ranau.


Jelasnya lagi, langkah ini merupakan sebahagian daripada inisiatif berterusan kerajaan dalam memperkasa sektor pemasaran hasil pertanian luar bandar khususnya untuk mewujudkan kemudahan lebih selesa dan kondusif kepada para usahawan tani tempatan.


Beliau percaya dengan adanya projek terbabit dan sokongan daripada penduduk tempatan akan dapat meningkatkan daya saing produk agro tempatan selain merancakkan lagi aktiviti ekonomi setempat. 


Hadir sama di kedua-dua majlis, Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang, Dato' Wira Haji Mahfuz Bin Haji Omar; Pengerusi Lembaga Pengelola MARDI, Dr. Azman bin Ismail; Ketua Pengarah MARDI, Dato' Dr. Haji Mohamad Zabawi bin Abdul Ghani; Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang, Encik Amir Matamin serta Pengarah FAMA Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Sarman Sidno.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page