top of page

Misi Ziarah Kasih CLC UPKO Bandau Diteruskan

  • nabalunews
  • Jul 14, 2025
  • 2 min read

14 Julai 2025


KOTA MARUDU: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Bahagian Kota Marudu, melalui Jawatankuasa Hubungan Antara Kaum (CLC) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandau, meneruskan agenda memperkukuh hubungan masyarakat menerusi pendekatan turun padang dan ziarah komuniti.


Pada 6 Julai lalu, Ketua CLC Bandau, Suzie Salapan bersama rombongan Ahli Jawatankuasa (AJK) telah mengadakan lawatan ke Kampung Pampang Poring, yang terletak dalam Pusat Daerah Mengundi (PDM) Pangapuyan.


Menurut Suzie, ziarah tersebut bertujuan untuk berinteraksi secara langsung dengan penduduk, khususnya dalam kalangan ahli keluarga dan komuniti tempatan. Beliau pada awalnya merancang lawatan secara sederhana dan tidak mahu menyusahkan penduduk setempat, namun dikejutkan dengan sambutan mesra yang telah disediakan lebih awal oleh penduduk kampung.

“Syukur Puji Tuhan, niat untuk menziarahi Kampung Pampang Poring telah dipermudahkan. Saya amat terharu apabila mendapati kehadiran saya telah dinantikan oleh ramai penduduk. Sambutan yang diberikan benar-benar menyentuh perasaan,” ujar beliau.


Kampung Pampang Poring memiliki nilai sentimental yang mendalam buat Suzie, kerana ia merupakan kampung asal usul nenek moyangnya di sebelah bapa. Tambah beliau, sebahagian besar penduduk kampung merupakan ahli keluarga atau mempunyai pertalian darah secara langsung.


“Saya amat terkesan apabila menerima kata-kata doa dan sokongan daripada warga emas di kampung tersebut. Apabila mereka menyampaikan pesanan ‘Barakatan Koh Kinorohingan Ogou’, saya tidak dapat menahan emosi kerana dapat merasakan keikhlasan dan kasih sayang yang terpancar daripada mereka,” katanya dalam nada penuh sebak.

Pada hari yang sama, Suzie dan rombongan turut menziarahi Kampung Gontoi, yang juga terletak dalam PDM Pangapuyan. Kampung tersebut turut mempunyai pertalian kekeluargaan dengan beliau. Walaupun kunjungan tersebut singkat, sambutan yang diberikan tetap mengesankan.


“Kehadiran kami walaupun seketika, telah disambut dengan penuh mesra dan saya amat menghargainya. Ia menjadi detik kebersamaan yang sangat bermakna dan akan sentiasa terpahat dalam ingatan saya,” tambahnya.


Suzie turut menyatakan harapan agar seluruh komuniti di kedua-dua kampung sentiasa berada dalam lindungan Ilahi dan segala urusan mereka dipermudahkan.


Lawatan ini mencerminkan komitmen berterusan CLC Bandau dalam menjalin hubungan erat bersama masyarakat pelbagai latar belakang, dengan pendekatan yang bersifat inklusif dan berteraskan nilai kekeluargaan serta kebersamaan rakyat.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page