top of page

MP Ranau: Tuntutan 40 peratus hak Sabah bukan tindakan meminta-minta

  • nabalunews
  • Oct 30
  • 2 min read

ree

30 Oktober 2025


KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin, menegaskan perjuangan menuntut hak 40 peratus hasil Sabah daripada Kerajaan Persekutuan bukanlah tindakan meminta-minta, sebaliknya tuntutan berasaskan Perlembagaan Persekutuan yang wajib dihormati.


Beliau berkata, keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 17 Oktober lalu yang memihak kepada Sabah Law Society (SLS) jelas menggariskan hak Sabah sebagaimana termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perlembagaan Persekutuan.


“Mahkamah telah memutuskan antara lainnya, Kerajaan Persekutuan telah melanggar kewajipan Perlembagaan di bawah Perkara 112D(1), (3) dan (4) kerana telah gagal untuk melakukan semakan kedua geran atau Pemberian Khas Sabah pada tahun 1994 bersama dengan Kerajaan Sabah.


“Semakan tersebut bukan suatu pilihan, tetapi satu tugas atau obligasi di bawah Perlembagaan untuk memastikan hak kewangan Sabah untuk berkembang sesuai dengan masa,” katanya semasa sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 di Dewan Rakyat pada Selasa.


Jonathan berkata, kegagalan atau ketinggalan untuk membuat semakan tersebut merupakan pelanggaran yang nyata kepada Perkara 112D.


Tambahnya, keputusan mahkamah itu juga mengesahkan hak Sabah di bawah Perkara 112C bersama Seksyen 2(1) Bahagian IV, Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan negeri ini berhak menerima 40 peratus hasil bersih yang diperoleh Kerajaan Persekutuan.


Namun, katanya, selepas keputusan tersebut diumumkan, terdapat kenyataan bahawa Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan sekitar RM14 bilion kepada Sabah pada tahun 2025 dan 2026, melebihi hasil yang dikutip antara 2022 hingga 2024 berjumlah kira-kira RM10 bilion.


“Sekiranya benar Kerajaan Persekutuan telah menanggung kerugian RM4 bilion setiap tahun untuk Sabah, maka apa gunanya mengekalkan Sabah dalam Persekutuan ini? Kalau kami ini dianggap beban, tendang sahaja kami keluar seperti Singapura dulu.


“Rakyat Sabah bukan mahu menagih simpati atau meminta lebih daripada kemampuan negeri ini tetapi hanya menuntut hak yang telah dijamin dalam perjanjian penubuhan Malaysia,” ujarnya.


Hakikatnya, menurut Jonathan jumlah hasil yang diperolehi Kerajaan Persekutuan dan agensi-agensi badan-badan berkanun, syarikat-syarikat berkepentingan Persekutuan di Sabah sebenarnya lebih besar berbanding jumlah yang dikembalikan.


Beliau turut mendakwa Kerajaan Persekutuan tidak telus menguruskan kewangan apabila masih belum memberi jawapan mengenai hasil sebenar yang dikutip daripada Sabah.


“Justeru, saya meminta Kerajaan Persekutuan supaya tidak merayu lagi ke Mahkamah Rayuan, lepas itu Federal Court. Mahkamah telah membuat keputusan yang jelas, ini adalah kewajipan yang telah dilanggari.


“Perjanjian ini mesti ditunaikan oleh Kerajaan Persekutuan. Kembalikanlah hak Sabah, kerana tidak mungkin bapa-bapa leluhur kami akan menyertai Malaysia kalau tidak ada jaminan bahawa 40 peratus itu diserahkan kembali kepada negeri,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page