top of page

MyKasih pantau sistem, pastikan kelancaran penebusan SARA

  • nabalunews
  • 3 days ago
  • 1 min read

ree

1 September 2025


KOTA KINABALU: Penyedia platform MyKasih terus memantau prestasi sistem bagi memastikan kelancaran proses penebusan bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).


Dalam kenyataan MyKasih hari ini, pihaknya telah mengambil langkah meningkatkan kapasiti pemprosesan terminal SARA sebanyak 60 peratus susulan lonjakan transaksi pada hari pertama pelaksanaan Penghargaan SARA semalam.


Namun katanya, penurunan kadar pemprosesan transaksi masih dilaporkan di beberapa lokasi hari ini khususnya di Selangor, Perak, Sabah dan Melaka.


“Pasukan teknikal kami terus memantau prestasi sistem secara aktif dan sedang mengambil tindakan segera untuk menambah baik keupayaan sistem secara berterusan,” menurut kenyataan itu.


MyKasih memaklumkan, hampir 600,000 transaksi berjaya disempurnakan setakat 5 petang ini, iaitu peningkatan 20 peratus berbanding tempoh sama semalam.


Ia menjadikan jumlah keseluruhan transaksi Penghargaan SARA dan bantuan bulanan SARA dalam tempoh dua hari mencecah 1.45 juta dengan nilai perbelanjaan rakyat sebanyak RM91 juta di seluruh negara.


Sementara itu katanya, beberapa pasar raya besar di kawasan bandar berdepan kesesakan semasa waktu puncak antara 1 tengah hari hingga 2.30 petang, dipercayai berpunca daripada jumlah pembeli yang tinggi sempena cuti hujung minggu panjang.


“Selain 22 juta penerima Penghargaan SARA yang menerima kredit one-off RM100 semalam, sebanyak 5.4 juta penerima turut menerima kredit bulanan SARA pada hari ini.


“Bagi mengatasi situasi ini, staf MyKasih telah ditempatkan di pasar raya besar terpilih untuk membantu menyelesaikan isu di lapangan dan memberikan sokongan kepada peniaga,” jelas kenyataan itu.


Orang ramai turut dinasihatkan merancang pembelian pada waktu bukan puncak bagi mengelakkan kesesakan dan memastikan pengalaman membeli-belah yang lebih lancar.


Kredit RM100 Penghargaan SARA sah digunakan sehingga 31 Disember 2025 di lebih 7,300 premis runcit berdaftar di seluruh negara.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page