Naiktaraf jalan Sepulut ke Pekan Pagalungan hampir siap
- nabalunews
- Feb 23
- 1 min read

23 Februari 2025
NABAWAN: Projek menaiktaraf jalan Sepulut ke Pekan Pegalungan dengan kos mencecah RM380 juta kini siap melebihi 90 peratus.
Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Nabawan, Ahmad Fairuz Yunus berkata, ia berdasarkan kepada laporan kemajuan kerja fizikal sehingga pertengahan bulan Februari tahun ini.
Katanya, pembinaan naiktaraf jalan sejauh kira-kira 38 kilometer itu dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh beberapa bulan lagi.

“Saya yakin ia siap dalam tempoh yang ditetapkan memandangkan kerja-kerja pembinaan naiktaraf jalan berkenaan termasuk pembinaan jambatan berjalan lancar.
“Semua jambatan sudah siap termasuk jambatan menyeberangi sungai Logongon yang dikenali jambatan Binanding yang sudah mula dilalui minggu lalu,” katanya.
Sementara itu, seorang penduduk yang ditemui, Musuh Ambong berkata, penduduk di sekitar Daerah Kecil Pagalungan kini merasa gembira dengan adanya jalan raya berturap ini.
Katanya, banyak manfaat yang akan diperolehi masyarakat di kawasan ini dengan jalan raya ini kerana ia memudahkan segala urusan terutama apabila mengeluarkan hasil pertanian.
"Jalan perhubungan yang selesa ini sekali gus menjadi nadi utama kepada semua sektor pembangunan dan pertumbuhan ekonomi setempat.
“Selain itu, ia juga turut menyumbang kepada sektor pelancongan di kawasan ini yang bakal menerima limpahan pembangunan berikutan pemindahan ibu kota negara jiran Indonesia di Nusantara,” katanya.
Menurutnya, ia turut memberi peluang kepada penduduk untuk mengusahakan perniagaan Homestay sebagai sumber pendapatan.
“Saya yakin jalan raya Sepulut - Pagalungan ini akan merancakkan pembangunan dan menjana pendapatan penduduk kampung,” katanya.
Comments