top of page
  • nabalunews

Nelayan hilang 34 jam di perairan Labuan, ditemui terapung di Kuala Penyu

20 Ogos 2024


LABUAN: Berpantang maut sebelum ajal. Seorang nelayan yang hilang di laut selama kira-kira 34 jam ketika keluar memancing ikan di perairan Tanjung Aru, di sini, ditemui selamat petang tadi.


Mangsa, Ramlee Mahroff, 46, ditemukan dalam keadaan terapung menggunakan gelen minyak oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berhampiran Pulau Tiga, Kuala Penyu jam 4.18 petang tadi.


Memetik laporan Info X, Pengarah Zon Maritim Labuan, Kepten Maritim Izwanhadi Idros berkata, mangsa ditemukan oleh Bot Kilat 23 milik APMM dalam keadaan terapung menggunakan gelen minyak.


“Ketika ditemui, mangsa dalam keadaan tidak berpakaian dan dibawa naik ke dalam bot sebelum mangsa diberikan air dan dipakaikan baju seragam APMM.


“Mangsa kemudian dibawa ke Jeti APMM Labuan untuk pemeriksaan lanjut,” katanya ketika ditemui di Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK), di sini, hari ini.


Mangsa ditemui terapung berhampiran Pulau Tiga, Kuala Penyu.


Menurutnya, mangsa berada dalam keadaan stabil namun dipercayai kekurangan oksigen dan air.


“Mangsa sudah diberikan air minuman bagi mengimbangkan keadaan bendalir di dalam badan sebelum diberikan rawatan lanjut.


Sebelum itu, mangsa dilaporkan hilang ketika keluar memancing ikan jam 6 pagi semalam.


Mangsa dilaporkan hilang oleh isterinya kira-kira jam 6.30 petang sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan.


Operasi SAR dilakukan APMM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awamn Malaysia (APM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) serta orang awam.

Comments


bottom of page