- nabalunews
Nik Nazmi, Fahmi tarik diri bertanding Presiden KLFA selepas tidak mendapat persetujuan kabinet
29 Ogos 2024
KUALA LUMPUR : Hasrat dua menteri kabinet bagi merebut kerusi Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) pada pemilihan jawatankuasa baharu KLFA pada bulan depan tidak kesampaian apabila kedua-duanya menarik diri selepas tidak mendapat persetujuan kabinet.
Dua calon terbabit ialah Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Menerusi satu kenyataan dimuat naik Nik Nazmi di laman sosialnya, keputusan penarikan diri itu dibuat selepas selesainya mesyuarat Kabinet pada Rabu.
"Kabinet hari ini memutuskan untuk anggota pentadbiran tidak bertanding jawatan persatuan sukan.
"Justeru, saya menerima keputusan tersebut dan menarik diri daripada bertanding jawatan Presiden KLFA," katanya.
Ujarnya lagi, walaupun tidak bertanding beliau tetap akan memberi perhatian sepenuhnya dalam membangunkan bakat baharu selaku penaung kelab Setiawangsa Rangers.
"Saya akan terus komited menyokong KLFA membangunkan ekosistem bola sepak yang sihat dan menyokong kejayaan KL City FC sebagai pasukan bola sepak profesional.
"Pada masa sama saya akan terus menaungi kelab bola sepak Setiawangsa Rangers, salah satu kelab gabungan KLFA, yang saya asaskan pada 2018," katanya.
תגובות