top of page

OP Tiris 4.0: Dua Kenderaan Disita, Ratusan Liter Diesel Dirampas

  • nabalunews
  • 2 days ago
  • 2 min read

14 April 2026


KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah berjaya merampas ratusan liter minyak diesel bersubsidi yang dipercayai cuba diseleweng dalam serbuan di sebuah stesen minyak di daerah ini, pada Isnin.


Dalam serbuan Op Tiris 4.0 jam 12.05 tengah hari itu, semua minyak diesel yang dirampas dianggarkan bernilai lebih RM22,000.


Pengarah KPDN Sabah, Shahril Nizam Shahidin berkata, serbuan dijalankan hasil risikan Unit Risikan Sabah sebelum membawa kepada tindakan penguatkuasaan.

Katanya, pemeriksaan di lokasi mendapati dua kenderaan disyaki digunakan untuk menjalankan aktiviti penyelewengan diesel secara terancang.


“Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua kenderaan yang berada di pam nombor enam dan lapan menggunakan tangki tambahan jenis Intermediate Bulk Container (IBC) berkapasiti 1,000 liter.


“Anggaran sebanyak 800 liter diesel ditemui dalam setiap tangki yang dipercayai dikumpul sebelum diedarkan secara tidak sah,” katanya dalam kenyataan, hari ini

Menurutnya, siasatan awal mendapati sindiket terbabit menggunakan modus operandi dengan mengisi diesel melalui tangki asal kenderaan sebelum dipindahkan ke tangki IBC menggunakan hos dan pam elektrik yang diubah suai.


Katanya, dua lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an turut ditahan bagi membantu siasatan selepas gagal mengemukakan dokumen berkaitan barang kawalan, termasuk buku stok serta resit pembelian dan penjualan diesel.


“Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dengan tujuan melakukan kesalahan,” katanya.

Dalam operasi itu, rampasan pertama membabitkan sebuah kenderaan jenis Isuzu Trooper bersama tangki IBC, pam elektrik, hos getah dan diesel dengan nilai keseluruhan RM12,695.


Rampasan kedua pula melibatkan sebuah van Toyota Lite Ace bersama tangki IBC, dua unit pam elektrik, hos getah serta diesel bernilai RM10,050.


“Secara keseluruhan, jumlah rampasan bagi kedua-dua kes mencecah RM22,745,” katanya.


Shahril Nizam menegaskan KPDN tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk penyelewengan barang kawalan bersubsidi kerana ia menjejaskan kepentingan rakyat dan ekonomi negara.


Sehubungan itu, Sharil Nizam mengingatkan semua pihak, khususnya pengusaha stesen minyak, supaya mematuhi undang-undang bagi memastikan penyaluran subsidi dilaksanakan secara adil dan telus.


Katanya, orang ramai juga digesa menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyelewengan kepada KPDN melalui saluran rasmi bagi membantu tindakan penguatkuasaan dilakukan dengan lebih pantas dan berkesan.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page