top of page

OP TIRIS: Lelaki Ditahan Bersama 300 Liter Diesel Bersubsidi Tanpa Permit

  • nabalunews
  • 1 hour ago
  • 1 min read

3 Mei 2026


TAWAU: Tindakan seorang lelaki menyimpan dan membawa minyak diesel bersubsidi tanpa permit membawa padah apabila dia dicekup dalam serbuan di sebuah stesen minyak di Batu 3, Jalan Apas, di sini, semalam.


Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, serbuan kira-kira jam 4.40 petang itu dijalankan sepasukan Task Force Bahagian Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.


Katanya, pasukan operasi diketuai Deputi Superintendan Sukvinderjeet Singh A/L Channan Singh selaku Ketua Bahagian Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA).

“Hasil pemeriksaan mendapati suspek lelaki berusia 50 tahun itu gagal mengemukakan sebarang lesen atau permit bagi memiliki kira-kira 300 liter minyak diesel bersubsidi,” katanya.


Menurutnya, pemeriksaan lanjut menemui sebuah tangki minyak jenis fiber yang diubah suai dipercayai digunakan untuk menyimpan bahan api berkenaan.


“Turut dirampas sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu Trooper, anak kunci kenderaan serta tangki yang diubah suai bagi tujuan penyimpanan diesel,” katanya.


Beliau berkata, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM11,445 membabitkan kenderaan, minyak diesel dan peralatan.


“Semua tangkapan dan rampasan diserahkan kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Sara Hidup Cawangan Tawau untuk tindakan lanjut,” katanya.


Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.


Mengulas lanjut, Jasmin menasihatkan orang ramai agar tidak terlibat dalam sebarang aktiviti penyelewengan barang kawalan kerana tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang.


“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyelewengan boleh menyalurkan maklumat kepada pihak polis termasuk melalui saluran Volunteer Smartphone Patrol (VSP) bagi membantu membanteras kegiatan ini,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page