top of page

Operasi pencarian dua warga China di Pulau Mantanani ditamatkan

  • nabalunews
  • Oct 12
  • 1 min read

ree

12 Oktober 2025


KOTA BELUD: Operasi pencarian dua pelancong warga China yang hilang di Pulau Mantanani, di sini, sejak 5 Oktober lalu ditamatkan, hari ini.


Operasi yang berlangsung selama tujuh hari melibatkan kekuatan seramai 95 anggota daripada pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sehingga kini masih gagal mengesan kedua-dua mangsa.


Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata, walaupun operasi SAR ditamatkan namun usaha pencarian masih diteruskan.

ree

Katanya, ia termasuk rondaan dan pengawasan di sepanjang perairan pantai barat hingga ke utara Kudat bagi mengesan sebarang petunjuk baharu.


“Keputusan menamatkan operasi dibuat selepas penilaian terhadap semua kawasan pencarian yang meliputi radius luas sekitar perairan Mantanani dilakukan tanpa menemui sebarang petunjuk baharu.


"Sepanjang tujuh hari operasi dijalankan, keadaan cuaca buruk dan ombak tinggi sedikit menjejaskan usaha pasukan SAR.

ree

“Namun, walaupun operasi rasmi ditamatkan, pemantauan di laut akan diteruskan dari semasa ke semasa," katanya ketika ditemui selepas meninjau lokasi, hari ini.


Sehubungan itu, Shahrudin menyeru pengusaha bot pelancongan dan nelayan di kawasan pantai barat hingga ke utara negeri ini agar segera menghubungi balai polis berhampiran sekiranya mempunyai sebarang maklumat berkaitan dua pelancong yang masih hilang.


"Penghargaan turut diberikan kepada semua agensi dan komuniti setempat termasuk pengusaha resort yang turut membantu sepanjang operasi dijalankan.


"Walaupun kita tutup operasi rasmi, semangat kerjasama semua pihak amat dihargai. Kita masih berharap akan ada perkembangan positif daripada rondaan dan pemantauan berterusan," katanya.


Terdahulu, dua pelancong warga China, lelaki dikenali sebagai Yu Xiapeng, 25, dan wanita, Fan Qin, 28, dilaporkan hilang selepas gagal dikesan sejak 5 Oktober lalu ketika menginap di Sutera Mantanani Resort, Pulau Mantanani.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page