top of page

OPR turun kepada 2.75 peratus

  • nabalunews
  • 7 days ago
  • 2 min read

10 Julai 2025


KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) memutuskan untuk mengurangkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus.


Menurut Pernyataan Dasar Monetari yang dikeluarkan BNM pada Rabu, kadar tertinggi dan terendah koridor OPR masing-masing juga diturunkan kepada tiga peratus dan 2.5 peratus.


Kali terakhir BNM mengekalkan OPR pada 2.75 peratus adalah pada Mac 2023. Kadar dinaikkan kepada tiga peratus pada Mei 2023.


Bank pusat itu berkata, meskipun ekonomi domestik berada pada landasan yang kukuh, namun ketidaktentuan berterusan dalam perkembangan luaran boleh menjejaskan prospek pertumbuhan negara.


"Oleh itu, pengurangan OPR ini adalah langkah awal yang bersifat berjaga-jaga untuk mengekalkan laluan pertumbuhan yang stabil bagi Malaysia dalam keadaan jangkaan inflasi yang sederhana," katanya dalam kenyataan.


BNM berkata, penunjuk terkini menandakan pertumbuhan global yang berterusan, disokong oleh perbelanjaan pengguna yang berdaya tahan dan sedikit sebanyak menerusi aktiviti yang dilakukan lebih awal.


Prospek pertumbuhan global dijangka terus disokong oleh keadaan pasaran pekerja yang positif, dasar monetari yang kurang ketat serta rangsangan fiskal.


“Bagaimanapun, ketegangan geopolitik dan ketidakpastian berhubung dasar tarif dijangka menambah risiko terhadap kestabilan pasaran kewangan dan harga komoditi,” katanya.


Bagi Malaysia katanya, perkembangan terkini menunjukkan pertumbuhan aktiviti ekonomi yang berterusan pada suku kedua, didorong oleh permintaan domestik yang kukuh serta pertumbuhan eksport.


Permintaan domestik yang mampan, peningkatan guna tenaga serta upah, dan pelaksanaan projek pelaburan sektor awam dan swasta dijangka terus menyokong pertumbuhan.


“Namun, imbangan risiko terhadap prospek pertumbuhan cenderung untuk menjadi perlahan, berikutan kelembapan perdagangan global, sentimen yang lemah serta pengeluaran komoditi yang lebih rendah daripada jangkaan,” ujarnya.


Menurut BNM, kadar purata inflasi keseluruhan dan inflasi teras masing-masing direkodkan pada 1.4 peratus dan 1.9 peratus bagi lima bulan pertama tahun ini.


Inflasi bagi keseluruhan tahun 2025 dijangka kekal sederhana, dipengaruhi oleh tekanan kos global yang terkawal serta ketiadaan tekanan permintaan dalam negeri yang berlebihan.


“Tekanan harga komoditi global dijangka terhad, sekali gus menyumbang kepada keadaan kos dalam negeri yang sederhana,” katanya.


Sementara itu, prestasi ringgit dijangka terus dipengaruhi oleh faktor luaran.


“Prospek ekonomi Malaysia dan pembaharuan struktur dalam negeri yang menggalakkan, serta inisiatif yang sedang dilaksanakan untuk menggalakkan aliran dana akan terus memberikan sokongan yang berterusan kepada ringgit,” katanya.

Comentarios


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page