Paip usang antara punca kebocoran kerap, gangguan air di Likas
- nabalunews
- 2 days ago
- 2 min read

28 April 2026
KOTA KINABALU: Paip jenis asbestos cement (AC) yang usang menjadi antara punca utama gangguan bekalan air di kawasan Likas, kata Pembantu Menteri Kerja Raya dan Utiliti Datuk Limus Jury.
Beliau berkata selain faktor usia paip, sistem penyaluran secara pengepaman terus turut memberi tekanan kepada rangkaian paip, sekali gus meningkatkan risiko kebocoran.
Sehubungan itu, katanya Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) melaksanakan beberapa langkah penyelesaian bagi menangani isu kebocoran paip yang kerap berlaku terutamanya di Jalan Keramat dan Jalan Tuaran Bypass.
“Antaranya ialah pelaksanaan kontrak penyelenggaraan paip Kota Kinabalu selama tiga tahun bagi kerja-kerja pembaikan segera ke atas paip yang bocor dan rosak, seterusnya mengurangkan kadar aduan gangguan bekalan air di sekitar Kota Kinabalu termasuk kawasan Likas
“Selain itu, program menaiktaraf dan penggantian paip jenis AC pelbagai saiz di daerah Kota Kinabalu, yang kini berada dalam fasa pelaksanaan dengan kemajuan fizikal sebanyak 7.03 peratus,” katanya,
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan daripada ADUN Likas, Tham Yun Fook, pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
Mengulas lanjut, Limus berkata projek yang dianggarkan bernilai RM 28 juta itu dijadualkan siap pada Februari 2027.
Selain itu katanya, kerja-kerja penggantian paip usang serta menaiktaraf paip transmisi dan agihan di Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan melibatkan kos sebanyak RM200 juta turut dilaksanakan.
“Projek ini telah diluluskan di bawah Rolling Plan Pertama (RP1), Tahun 2026, Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) melalui peruntukan pinjaman Persekutuan oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).
“Pelaksanaan projek yang dijangka mula dilaksanakan pada suku keempat 2027 ini akan melibatkan penggantian serta penaiktarafan paip-paip kritikal yang usang, termasuk di Likas,” jelasnya.
Beliau berkata pelaksanaan projek tersebut dijangka dapat meningkatkan kecekapan sistem bekalan air serta mengurangkan gangguan di kawasan terlibat.















Comments