top of page

Pantai Dalit miliki potensi destinasi pelancongan kelas dunia

nabalunews
Jul 25, 2025
2 min read

Joniston berama mesra dengan pelayar semasa acara Karnival Nautica Teluk Dalit 2025 di Tuaran, hari ini
Joniston berama mesra dengan pelayar semasa acara Karnival Nautica Teluk Dalit 2025 di Tuaran, hari ini

25 Julai 2025


TUARAN: Pantai Dalit, Tuaran memiliki potensi besar sebagai destinasi pelancongan kelas dunia kerana memiliki pantai yang memukau, kepelbagaian budaya dan lokasi strategik berhadapan Laut China Selatan.


Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor sehubungan itu berkata, penganjuran Dalit Bay Nautica 2025 akan membantu meningkatkan aktiviti pelancongan, mempromosikan warisan budaya serta merangsang aktiviti ekonomi di negeri ini.


Beliau berkata, ini sudah pasti akan meletakkan negeri Sabah pada peta pantai global dan menjadi satu petanda yang baik dalam meningkatkan sektor pelancongan di negeri ini.


"Sudah pasti acara ini akan membantu mempelbagaikan lagi tarikan pelancongan sekali gus dapat membantu mencapai sasaran 3.5 juta pelancong ke Sabah pada tahun ini," katanya pada majlis perasmian Dalit Bay Nautica 2025 di sini, hari ini.


Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Joniston Bangkuai.


Hajiji berkata, kehadiran lebih 100 pelayar dan 29 kapal layar dari 16 negara sempena Dalit Bay Nautica ini juga adalah bukti bahawa Sabah sedang dilihat dan dihargai oleh dunia untuk destinasi pelayaran.


Beliau berharap pelancongan nautika seperti ini akan menjadi salah satu daya tarikan atau aktiviti pelancongan utama dalam masa terdekat di negeri ini.


“Sabah menawarkan pelbagai pengalaman berlayar dan sebenarnya terdapat potensi untuk menjadi destinasi pelayaran memandangkan kita mempunyai pantai yang menarik dan bersih.


“Saya yakin pelancongan nautika atau aktiviti rekreasi pelayaran juga akan berpotensi membawa pengunjung ke Sabah sekali gus mampu menjana limpahan ekonomi kepada

penduduk setempat.


“Justeru, kita perlu memanfaatkan prospek aktiviti pelayaran itu memandangkan lokasi negeri ini yang mempunyai kelebihan dan banyak laluan air," katanya.


Hajiji berkata, sebagai negeri kedua terbesar di Malaysia, Sabah mempunyai segala-galanya untuk ditawarkan dari lautan yang dalam hingga ke gunung yang tinggi. Ini menjadikan Sabah adalah di antara destinasi pelancongan bertaraf dunia.


“Keindahan dan kekayaan flora serta fauna dan keajaiban alam semula jadi seperti lautan serta kepulauannya dan gunung-ganang serta hutan simpannya adalah khazanah alam yang dinikmati dan dikagumi ramai,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page