Dewan Rakyat lulus pindaan Akta LHDN, satu lagi penyelesaian MA63
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Dewan Rakyat lulus pindaan Akta LHDN, satu lagi penyelesaian MA63



11 Oktober 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) (Pindaan) 2023 bagi membolehkan wakil kerajaan Sabah dan Sarawak dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah LHDN.


Ini adalah antara satu penyelesaian dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang dituntut oleh rakyat Sabah dan Sarawak selama ini.


RUU itu yang dibentangkan oleh Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Seri Ahmad Maslan dibahaskan oleh 20 Ahli Parlimen termasuk Ahli Parlimen Tuaran Datuk Wilfred Madius Tangau.


Pindaan RUU itu bertujuan meminda Akta LHDN Malaysia 1995 (Akta 533) di mana Fasal 1 mengandungi tajuk ringkas dan peruntukan mengenai permulaan kuat kuasa akta yang dicadangkan.


Fasal 2 meminda seksyen 6 Akta 533 untuk meluaskan keanggotaan Lembaga LHDN dengan menambah seseorang mewakili Sabah dan Sarawak yang dilantik oleh menteri selepas berunding dengan Ketua Menteri Sabah dan Premier Sarawak.


Pelantikan wakil-wakil dari Sabah dan Sarawak bagi memastikan isu percukaian ditangani dan disampaikan sewajarnya.


Terdahulu ketika membahaskan RUU itu, Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Wilfred Madius Tangau mengucapkan terima kasih kepada pihak kerajaan kerana menerima baik setiap cadangan daripada backbencher.


“Tuaran menyokong RUU Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (Pindaan) 2023,” katanya.


Beliau berharap hal pelantikan Ahli Lembaga Pengarah LHDN tidak berkesudahan dengan ‘pertikaian’ sehingga perlu ke mahkamah.


“Sesungguhnya, rakyat mahukan agar apa yang disebut dalam keseluruhan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan disetiap dokumen yang terkandung dalam MA63 hendaklah dilaksanakan sepertimana yang dijanjikan,” katanya.



photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page