Pasangan remaja dilaporkan hilang di Keningau: Polis minta bantuan orang awam
- nabalunews
- Oct 24, 2024
- 2 min read

24 Oktober 2024
KENINGAU: Polis daerah Keningau kini sedang giat mengesan dua remaja yang dilaporkan hilang sejak 22 Oktober lalu.
Remaja berkenaan, Natelia Vanessa Rosman, 17, dan Aaron Carter Lim, 19, dipercayai adalah pasangan kekasih.
Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan kedua-dua remaja itu pada jam 9.20 pagi dan 6.59 petang, 22 Oktober.
Kehilangan Natelia disedari oleh kakaknya pada 20 Oktober, apabila mendapati Natelia tidak berada di rumah mereka di Kampung Pagansangan, Apin-Apin.
Usaha menghubungi telefon bimbit Natelia sehingga kini masih menemui kegagalan.
“Pelbagai usaha telah dijalankan untuk mengesan Natelia, termasuk menghubungi rakan-rakan serta kolej vokasionalnya. Namun, pihak kolej mengesahkan Natelia tidak hadir ke kelas seperti biasa,” ujar Yampil seperti dilaporkan Info X.
Menurutnya, Natelia dilihat kali terakhir memakai baju berwarna merah dan seluar pendek hitam.
Setakat ini, punca kehilangan Natelia masih belum diketahui, dan pihak keluarga memaklumkan bahawa tiada sebarang konflik berlaku antara mereka.
"Pihak polis sedang giat menjalankan pencarian dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan Natelia diminta segera menghubungi polis," tambah beliau.
Bagi Aaron pula, kali terakhir dia menghubungi keluarganya adalah pada 20 Oktober, di mana dia meminta wang untuk perbelanjaan perjalanan balik ke Papar.
Namun, keluarganya mendapati Aaron tidak pulang pada 21 Oktober seperti yang dijanjikan dan gagal dihubungi selepas itu.
“Aaron adalah pelajar sebuah kolej vokasional yang sedang bercuti bermula 20 Oktober hingga 4 November. Siasatan awal menunjukkan dia gagal dihubungi selepas kali terakhir menyatakan hasratnya untuk pulang ke Papar,” jelas Yampil lagi.
Sejak pagi tadi, gambar kedua-dua remaja ini tular di media sosial.
Netizen yang mempunyai maklumat diminta untuk segera melaporkannya kepada pihak polis atau menghubungi keluarga mereka.
Gambar Natelia dan Aaron turut dikongsikan dengan pesanan agar mereka yang menjumpai mereka segera menghantar mereka ke Balai Polis Keningau.
Menurut kenyataan dalam hebahan orang hilang, kali terakhir Aaron dilaporkan berada di Taman Adika, Keningau, dan sudah empat hari keluarganya tidak menerima sebarang berita daripadanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kehilangan kedua-dua remaja ini diminta tampil memberi kerjasama bagi membantu siasatan.


















Comments