Pasukan HAGA Juara D’Kiau Dart Double Open 2025 di Kota Belud
- nabalunews
- Sep 23
- 1 min read

23 September 2025
KOTA BELUD: Pasukan HAGA menjuarai Pertandingan D’Kiau Dart Double Open 2025 yang berlangsung pada 20 September 2025 di Dewan Kanso Kiau Teburi, Kota Belud. Kejayaan tersebut melayakkan mereka membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM2,500.
Tempat kedua dimenangi oleh pasukan TANKER dengan hadiah berjumlah RM1,250. Sementara itu, kedudukan ketiga dan keempat yang dikongsi bersama disandang oleh pasukan SSM Siang Malam serta pasukan DEVA MA, masing-masing menerima RM600.
Bagi kedudukan kelima hingga kelapan, pasukan DJ, SSG Torigal CB, SDC Kolam dan Secangkir Cafe AF turut menerima hadiah wang tunai RM300 setiap pasukan. Manakala pemenang bersama di tempat kesembilan hingga keenam belas menerima RM100 setiap pasukan.

Dalam kategori Peluang Kedua, pasukan DDT Shot dan FR JY diumumkan sebagai pemenang bersama dengan hadiah wang tunai RM500 setiap pasukan.
Pengerusi Penganjur, Hilary Dapit, memaklumkan bahawa sebanyak 74 pasukan telah mengambil bahagian dalam kejohanan sehari tersebut dengan yuran penyertaan sebanyak RM150 bagi setiap pasukan. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua peserta atas sokongan berterusan mereka terhadap program yang dianjurkan sejak tahun 2017.
“Pertandingan D’Kiau Dart Double Open bukan sahaja berfungsi sebagai medan persaingan, tetapi juga sebagai platform memperkukuh semangat kesukanan dan silaturahim dalam kalangan masyarakat. Kami menghargai sokongan padu yang diberikan setiap tahun,” katanya.

Beliau turut menyampaikan ucapan terima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick, yang merupakan Penaung D’Kiau Dart Club. Sumbangan beliau telah memastikan hadiah keseluruhan melebihi RM10,000 dapat dipertandingkan dalam edisi kali ini.
Pertandingan yang dianjurkan oleh D’Kiau Dart Club sejak tahun 2017 ini kini menjadi acara tahunan yang dinantikan, sekali gus memperkukuh kedudukan sukan dart sebagai salah satu aktiviti riadah berprestij di daerah Kota Belud.


















Comments