Pegawai AADK Didakwa Guna Dokumen Palsu Tuntut Bayaran RM19,440
- nabalunews
- 2 hours ago
- 2 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns
12 Mac 2026
KOTA KINABALU: Seorang pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Khas Rasuah di sini hari ini atas enam pertuduhan menggunakan dokumen palsu bagi menuntut bayaran program komuniti bernilai RM19,440.
Tertuduh, Bakri Bibi, 53, yang berkhidmat sebagai Pegawai Antidadah Gred S48, membuat pengakuan tersebut selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Elsie Primus.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat AADK Negeri Sabah, Tingkat 5, Wisma San Hin, Plaza Wawasan antara 19 Ogos 2018 hingga 23 April 2019.
Mengikut pertuduhan pertama hingga keempat, lelaki itu didakwa menggunakan dokumen pembelian terus pelawaan tawaran harga milik syarikat Yazied Photostate Centre yang didakwa palsu bagi mendapatkan bayaran empat program.
Program terbabit membabitkan Perkhidmatan Makan Minum Program Pengaktifan Community di Kunak pada 13 Ogos 2018 bernilai RM2,700, diikuti Program Khidmat Masyarakat di daerah sama pada 29 Ogos 2018 berjumlah RM2,500.
Dua lagi pertuduhan membabitkan tuntutan bernilai RM4,500 setiap satu bagi Program Kesedaran Bahaya Dadah di TSH Wilmar Kunak pada 29 Mac 2019 serta Program Skuad AADK Tawau Hiking Bukit Lim Man Kui pada 30 Mac 2019.
Dua pertuduhan terakhir pula berkaitan penggunaan dokumen palsu bagi mendapatkan bayaran perkhidmatan membekal bahan binaan untuk program gotong-royong komuniti di Kampung Tawau Lama pada 16 April 2019 serta di Dewan Sri Tawau, SMK Balung Tawau pada 14 April 2019, masing-masing bernilai RM2,620.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Norsham Saharom manakala tertuduh diwakili peguam Zahir Shah.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin tempatan serta deposit RM4,000 seperti ditetapkan kes terdahulu. Mahkamah turut mengarahkan tertuduh melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setiap dua bulan, menyerahkan pasport antarabangsa dan pasport terhad, serta tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Mahkamah menetapkan 27 April depan untuk pengurusan kes.















Comments