Peguam Keluarga Ibu Zara Qairina Akan Lantik Pakar Tulisan Sendiri
- nabalunews
- 5 hours ago
- 2 min read

8 September 2025
KOTA KINABALU: Pasukan peguam mewakili ibu Allahyarham Zara Qairina Mahathir, Noraidah Lamat akan melantik pakar tulisan tangan sendiri untuk membantu mereka dalam prosiding inkues kes berkenaan.
Perkara berkenaan sudah dipohon kepada pihak Mahkamah Koroner untuk kebenaran hadir bagi memeriksa dokumen mengandungi tulisan tangan yang dipercayai milik arwah Zara Qairina.
Peguam Rizwandean M Borhan berkata, masih terlalu awal untuk menilai isi kandungan dokumen itu selepas Pemeriksa Dokumen dari Jabatan Kimia selesai memberi keterangan sebagai saksi kedua, hari ini.
Katanya, saksi pakar tulisan tangan dari Jabatan Kimia sudah memberi keterangan mengenai beberapa dokumen yang dikatakan diari.
“Selain itu, ada juga cebisan kertas, ada juga cebisan daripada buku. Buku teks sekolah pun ada juga, yang beratus muka surat.
"Perkara penting hari ini ialah, belum ada keputusan, atau belum dapat dipastikan bahawa tulisan-tulisan ini telah ditulis oleh mana-mana pihak yang dikenali, ataupun oleh arwah sendiri. Ini baru hanya dipanggil contoh 'spesimen' tetapi belum dapat dipastikan siapa yang menulis.
"Kami juga, bagi pihak ibu Zara, telah melantik pakar tulisan tangan sendiri untuk memeriksa dokumen ini. Kami juga telah membuat permohonan kepada Mahkamah Koroner supaya pakar kami sendiri dibenarkan hadir membuat pemeriksaan terhadap dokumen-dokumen ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di pekarangan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu bersama pasukan peguamnya iaitu Shahlan Jufri, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh dan Farrah Nasser.
Menurutnya, pihaknya akan membuat perjanjian dengan agensi berkaitan untuk menentukan tempat dan waktu, agar pakar tulisan tangan yang dilantik dapat memeriksa dokumen berkenaan.
"Itu yang lebih baik pada pandangan saya berbanding hanya tergesa-gesa membuat kesimpulan, akan ada seseorang yang datang untuk memeriksa dokumen-dokumen ini.
“Langkah itu bagi memastikan tujuan inkues itu diadakan iaitu untuk mencari kebenaran mengenai punca kematian arwah Zara dapat dicapai,” katanya.
Mengulas lanjut, Rizwandean berkata pihaknya akan berbincang dengan Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk membawa pakar terbabit pada minggu depan, namun bergantung kepada Jabatan Kimia.
"Sebab kami difahamkan bahawa pihak Jabatan Kimia juga perlu hadir semasa pemeriksaan itu berlaku dan perlu pilih satu tempat yang sesuai di mana pemeriksaan itu akan dijalankan. Pakar itu dari Kuala Lumpur.
"Masalahnya, pemeriksaan itu belum dibuat sebab dokumen yang dibawa hari inipun sebenarnya kami baru terima semalam dan ada yang baru diterima hari ini.
"Selain itu, untuk berlaku adil, dokumen asal itu baru sahaja dibuka oleh saksi daripada Jabatan Kimia tadi. Jadi mungkin sebab itulah ia tidak dapat diperiksa lebih awal dan sekarang sudah ada dokumen asal, sudah dibentangkan di mahkamah, jadi bolehlah diambil oleh pakar untuk diperiksa," katanya.
Comments