Pekerja maut tertimbus: UMS dihentikan kerja sementara
- nabalunews
- Sep 7
- 1 min read

7 September 2025
KOTA KINABALU: Projek yang dijalankan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang dikaitkan dengan insiden kematian seorang pekerja pemasangan paip telah dihentikan sehingga siasatan pihak berkuasa selesai.
Pusat Komunikasi Korporat UMS dalam satu kenyataan mengesahkan berlaku satu insiden membabitkan kematian seorang pekerja ketika kerja-kerja projek dijalankan oleh kontraktor di kawasan kampus pada tengah hari Sabtu.
"UMS memandang serius perkara ini dan telah segera menggerakkan pasukan Bahagian Keselamatan (BKUMS), Jabatan Pembangunan dan Penyelenggaraan (JPP) serta Pusat Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (COSH) bagi membantu operasi awal serta menyelaras tindakan dengan pihak berkuasa.
"Pihak UMS juga telah berhubung dengan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) Sabah berkaitan insiden ini,” menurut kenyataan itu.
Sebagai langkah berwaspada, katanya projek berkaitan telah dihentikan serta-merta sehingga siasatan selesai dijalankan pihak berkuasa.
Selain itu, UMS akan turut melaksanakan audit keselamatan menyeluruh terhadap semua projek yang sedang berjalan.
“Pihak universiti amat berdukacita dengan kejadian ini dan menzahirkan ucapan takziah serta simpati kepada keluarga mangsa.
“UMS, melalui kontraktor, akan memastikan bantuan dan sokongan sewajarnya disalurkan kepada keluarga mangsa,” jelas kenyataan itu.
Dalam pada itu, universiti tersebut turut menegaskan bahawa keselamatan dan kesejahteraan warga kampus serta pihak yang terlibat dalam projek sentiasa menjadi keutamaannya.
“UMS komited memperkukuhkan lagi pemantauan kepada pematuhan perundangan berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan bagi mengelakkan kejadian seumpama berulang," katanya.


















Comments