PEKERJA PEMBINAAN, UPACARA PENGKEBUMIAN ANTARA PUNCA KLUSTER BAHARU DI SABAH

28 NOV 2020
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Empat kluster baharu direkodkan di Sabah hari ini, berkaitan pekerja tapak pembinaan, Pusat Tahanan Sementara (PTS), Pelabuhan Dermaga, dan upacara pengkebumian.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, Kluster Jesselton di Kota Kinabalu telah menjangkiti 44 orang berkaitan pekerja tapak pembinaan Jesselton Quay, Kluster PTS Sibuga Sandakan sebanyak 99 kes berkaitan Pusat Tahanan Sementara Sibuga;.
“Manakala Kluster Dermaga di Sandakan pula berkaitan dengan saringan Pelabuhan Dermaga Sandakan menjangkiti 17 orang dan Kluster Tempasuk di Kota Belud sebanyak tujuh kes berkaitan upacara pengebumian,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Masidi berkata, Sandakan mencatatkan kes tertinggi hari ini iaitu 176 kes. Daripada jumlah tersebut, 99 kes adalah daripada Kluster PTS Sibuga, 17 kes daripada Kluster Dermaga dan tujuh kes daripada Kluster Tinusa.
“Manakala saringan kontak rapat (36 kes), saringan bergejala (lapan kes), saringan komuniti (tujuh kes) saringan sebelum kerja dan saringan sign on masing-masing satu kes,” katanya.
Beliau berkata, seramai 274 pesakit Covid-19 dilaporkan sembuh hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh seramai 24,793 orang.
“Sejumlah 2,094 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 669 orang di hospital dan 1,425 orang di PKRC. Bilangan pesakit COVID-19 dalam ICU ialah 70 orang dan 19 orang pula memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.
Comments