Pelajar lelaki maut tertimbus tanah ketika bermain "gua-gua”.
- nabalunews
- 2 hours ago
- 2 min read

24 Ogos 2025
KENINGAU: Seorang pelajar lelaki maut selepas tertimbus tanah runtuh ketika bermain "gua-gua” bersama rakan, di tebing Sungai Pegalan, berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Binaong, di sini, Sabtu lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, mangsa yang dikenali sebagai Akmal Aniq Diesunardie, 13 tahun, dilaporkan meninggal dunia akibat kecederaan.
Ketua Polis Daerah Keningau Superintendan Yampil Anak Garai berkata, pihaknya menerima makluman kejadian daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Katanya, berdasarkan maklumat diterima, mangsa dikatakan tertimbus dan terperangkap akibat tanah runtuh di tebing sungai berkenaan.
“Hasil siasatan berdasarkan saksi-saksi mendapati tiada sebarang elemen jenayah yang terkesan dan kejadian hanya melibatkan kanak-kanak yang bermain sesama sendiri.
“Tidak ada berlaku sebarang pergaduhan, tidak ada berlaku sebarang tolak menolak, tidak ada juga mana-mana daripada mereka yang melompat-lompat di atas tebing di mana terowong dibina,” katanya.
Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut.
Sementara itu, Yampil berkata, berdasarkan siasatan awal, mangsa bersama 10 rakan lpergi lokasi kejadian untuk bermain.
Katanya, mereka hanya sekadar bermain di kawasan tebing dan tidak turun untuk mandi sungai berkenaan.
“Semua mereka berpakat untuk bermain “gua-gua” dengan cara mengorek tanah di tebing sungai membuat “terowong” untuk masuk apabila siap.
“Tiga daripada mereka memasuki terowong itu dengan didahului oleh mangsa untuk “mencantikkan” lagi terowong yang sudah dibina.
“Selang beberapa minit, terowong berkenaan tiba-tiba runtuh dan menimpa mangsa dan seorang lagi rakan, manakala seorang lagi hanya tertimpa bahagian kaki sahaja.
“Menyedari kejadian itu, beberapa rakan mangsa terus mengorek tanah untuk membantu mengeluarkan rakan mereka, selain itu ada juga yang cuba mendapatkan pertolongan daripada orang awam di kawasan berhampiran,” katanya.
Yampil berkata, seorang pekebun yang dimaklumkan mengenai kejadian itu terus bergegas ke tempat kejadian untuk membantu.
Katanya, lelaki terbabit berjaya mengeluarkan rakan mangsa yang masih dalam keadaan sedar sebelum meneruskan usaha mengorek tanah untuk menyelamatkan mangsa yang masih tertimbus.
“Mangsa akhirnya berjaya dikeluarkan dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.
Comentarios