top of page

Pelan Induk Hutan 25 tahun dirangka urus sumber hutan Sabah – Hajiji

  • nabalunews
  • 5 hours ago
  • 2 min read

23 Mei 2026


SOOK: Kerajaan Negeri menerusi Jabatan Perhutanan Sabah sedang merangka Pelan Induk Hutan sebagai garis panduan pengurusan sumber hutan Sabah bagi tempoh 25 tahun akan datang, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.


Beliau berkata pelan itu selari dengan aspirasi kerajaan negeri dalam melaksanakan rasionalisasi guna tanah bagi memastikan keseimbangan antara pembangunan sosioekonomi dan konservasi alam sekitar.


“Dengan tersedianya Pelan Induk Hutan ini kelak, Kerajaan Sabah akan memastikan semua Kawasan Ekologi Sensitif atau Ecological Sensitive Area (ESA) terus dilindungi, di samping tidak mengabaikan pembangunan sosioekonomi mampan demi kesejahteraan rakyat Sabah.


“Perkara ini juga seiring dengan pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya menerusi Pelan Pembangunan SMJ 2.0 yang antara lain menetapkan keperluan pembangunan jaringan infrastruktur dan pembangunan hijau,” katanya.


Beliau berkata demikian pada perasmian sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Kebangsaan 2026 di Dataran Sook, di sini, pada Sabtu.


Ketua Menteri menegaskan kerajaan negeri kekal komited untuk mengekalkan 50 peratus kawasan litupan hutan di Sabah selaras dengan Dasar Hutan Sabah 2018.


“Sabah ketika ini masih mengekalkan 63 peratus kawasan litupan hutan negeri melibatkan 3.85 juta hektar kawasan yang telah diwartakan sebagai hutan simpan dan kawasan perlindungan lain.


“Bagi memperkasa pengurusan hutan negeri dan melindungi khazanah biodiversiti pula, Sabah komited untuk mengekalkan 2.2 juta hektar atau 30 peratus daripada keluasan negeri sebagai Kawasan Terlindung Sepenuhnya (TPA),” katanya.


Dalam pada itu, Hajiji berkata kerajaan negeri telah mengenal pasti kira-kira 400,000 hektar kawasan hutan simpan terosot untuk tujuan pembangunan ladang hutan seperti yang digariskan dalam Pelan Tindakan Pembangunan Ladang Hutan 2022-2036.


Menurut beliau, pembangunan ladang hutan itu merupakan antara strategi bagi memulihkan produktiviti hutan terosot selain mengurangkan kebergantungan industri perkayuan tempatan terhadap bekalan balak daripada hutan asli dan memastikan sumber bekalan bahan mentah yang berkekalan.


Katanya, sebagai manifestasi keseimbangan antara pembangunan sosioekonomi dan perlindungan sumber asli, kerajaan negeri dengan kerjasama United Nations Development Programme (UNDP) dan Global Environment Facility (GEF) akan mempelopori pelaksanaan Program Kesan-Kesan Sistem Penghasilan Makanan, Guna Tanah dan Restorasi (FOLUR IP).


“Program ini melibatkan pengurusan landskap bersepadu meliputi kawasan seluas kira-kira 2.1 juta hektar bagi menyelaras perancangan dan pengurusan guna tanah di Sabah bagi membendung kesan penghasilan minyak sawit selain mengekalkan kawasan konservasi hutan bernilai tinggi (HCVF).


“Ia akan dilaksanakan di 12 daerah di Sabah dan dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 56,000 penduduk luar bandar,” katanya.


Pada majlis sama, Hajiji yang diiringi Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Kurup turut menyampaikan 1,136 geran tanah Native Title (NT) bagi Parlimen Pensiangan melibatkan keluasan keseluruhan 2,303.84 hektar (5,692.9 ekar).


Daripada jumlah itu, sebanyak 295.51 hektar (730.22 ekar) melibatkan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nabawan, 948.82 hektar (2,344.59 ekar) bagi DUN Tulid dan 1,059.51 hektar (2,618.08 ekar) bagi DUN Sook.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page