Pelan Pembangunan Kadamaian inspirasi pelaksanaan Projek Tamu Desa - Ewon
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Pelan Pembangunan Kadamaian inspirasi pelaksanaan Projek Tamu Desa - Ewon


17 Mei 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA BELUD: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick menjadikan Pelan Pembangunan Kadamaian (2020-2035) sebagai inspirasi untuk melaksanakan Projek Tamu Desa di Sabah dan Sarawak, bermula tahun ini.


Beliau berkata, sebelum ini Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) tidak pernah membina gerai-gerai atau tamu-tamu desa, hanya memberikan pembiayaan melalui agensi-agensi kementerian.


“Tetapi dalam Pelan Pembangunan Kadamaian, jelas dinyatakan keperluan membina lebih banyak ruang niaga. Saya merujuk kepada Pelan Pembangunan Kadamaian, inspirasi rakyat itu, saya jadikan sebagai polisi kementerian dan kembalikan semula kepada rakyat yang memerlukan keperluan itu,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Program Memasyarakatkan Belia dan Beliawanis Berkoperasi sempena sambutan Kaamatan Madani, di Dewan Masyarakat Kg.Piasau, di sini, hari ini.


Pelan Pembangunan Kadamaian dilancarkan pada 2020 kini menjadi panduan kepada semua kementerian, agensi dan jabatan kerajaan untuk membawa pembangunan yang lebih pesat di Kadamaian.


Kajian Pelan Pembangunan Kadamaian itu melibatkan 74 buah kampung di Kadamaian dilaksanakan oleh Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS) selama enam bulan dengan kerjasama Pejabat Daerah Kota Belud dan Pejabat Adun Kadamaian semasa Ewon menjawat jawatan Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah.


“Ia kini menjadi panduan kepada saya sebagai wakil rakyat untuk merealisasikan aspirasi atau keperluan penduduk kampung.


“Contohnya di Kadamaian, terdapat lebih kurang 13 Tamu Mingguan dan Tamu Komuniti yang digunakan oleh para penjaja dan peniaga kecil-kecilan berniaga sekurang-kurangnya setiap minggu di kampung atau mukim masing-masing.


“Kini, sebagai kementerian yang bertanggungjawab terhadap pembangunan penjaja dan penaga kecil-kecilan di seluruh negara saya ingin melihat satu penambahbaikan inisiatif sedia ada.


“Penambahbaikan itu adalah, kita menaiktaraf atau menyediakan ruang tamu niaga yang lebih selesa di kawasan luar bandar,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian.

Menyedari keperluan ruang niaga dan permintaan tinggi daripada komuniti penjaja dan peniaga kecil luar bandar, beliau mengambil inisiatif untuk memperkenalkan Projek Tamu Desa.


“Kalau di kawasan bandar, kemudahan ini disediakan oleh Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan tetapi di kawasan luar bandar, saya harus memainkan peranan aktif untuk menyediakan sokongan kepada mereka.


“Selain inisiatif pembiayaan melalui Tekun Nasional, Bank Rakyat dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) saya juga melihat keperluan menaiktaraf Tamu Desa.


“Sebab itu saya telah meminta kepada Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan untuk memberikan peruntukan kepada kementerian saya untuk memperkenalkan Projek Tamu Desa,” katanya.


Ewon berkata, sebanyak RM20 juta peruntukan disediakan untuk melaksanakan inisiatif baharu kementerian itu dan daripada jumlah itu RM7 juta disalurkan untuk fasa pertama bagi menaiktaraf atau membina 38 buah Tamu Desa yang telah dikenalpasti di seluruh Sabah.


“Antara Tamu Komuniti yang menerima manfaat projek ini ialah Kampung Piasau,” katanya.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page