top of page

Pelancongan domestik catat RM32.6 bilion pada suku akhir 2025

  • nabalunews
  • 1 hour ago
  • 2 min read

18 Mac 2026


KUALA LUMPUR: Perbelanjaan pelancongan domestik Malaysia meningkat 12.4 peratus pada suku keempat 2025 kepada RM32.6 bilion, menjadikan jumlah keseluruhan tahunan sebanyak RM121 bilion.


Bilangan pelawat domestik turut meningkat kepada 74 juta pada suku berkenaan, naik 10.8 peratus tahun ke tahun, manakala secara suku ke suku mencatatkan pertumbuhan 2.0 peratus berbanding suku ketiga 2025.


Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, prestasi pelancongan domestik yang lebih kukuh ini didorong oleh peningkatan aktiviti perjalanan dalam kalangan rakyat Malaysia, khususnya semasa tempoh cuti sekolah dan musim perayaan pada hujung tahun.


“Prestasi pada suku tahun ini mencerminkan permintaan domestik yang berterusan, disokong oleh peningkatan perbelanjaan bagi penginapan, perkhidmatan makanan dan minuman, pengangkutan serta aktiviti runcit merentas industri berkaitan pelancongan.


“Indikator daripada industri berkaitan pelancongan adalah selari dengan prestasi yang memberangsangkan sektor pelancongan domestik,” katanya dalam satu kenyataan.


Menurut beliau, ketibaan penumpang domestik di lapangan terbang meningkat 17.9 peratus tahun ke tahun, manakala jualan runcit bahan api automotif berkembang 7.1 peratus, mencerminkan mobiliti yang lebih tinggi.


Selain itu, katanya subsektor penginapan turut mencatatkan prestasi memberangsangkan dengan hasil meningkat 14.7 peratus tahun ke tahun, selain kadar penghunian hotel yang bertambah merentasi semua kategori.


Menilai prestasi tahunan pelancongan domestik, Mohd Uzir berkata, sektor tersebut mengekalkan pertumbuhan memberangsangkan pada 2025 dengan jumlah pelawat domestik mencecah 290.1 juta, meningkat 11.5 peratus berbanding 260.1 juta pada 2024.


“Perbelanjaan pelancongan domestik bagi tahun tersebut berjumlah RM121.0 bilion, mencatatkan pertumbuhan kukuh 13.3 peratus tahun ke tahun, sekali gus mencerminkan peningkatan sumbangan sektor ini kepada aktiviti ekonomi domestik.


“Secara keseluruhan, sektor pelancongan domestik Malaysia terus berperanan sebagai salah satu pemacu utama pertumbuhan ekonomi, disokong oleh peningkatan bilangan pelawat, perbelanjaan pelancongan lebih tinggi serta prestasi berdaya tahan merentas industri berkaitan pelancongan,” ujarnya.


Katanya, pertumbuhan berterusan yang dicatatkan pada 2025 menunjukkan peranan signifikan sektor itu dalam memperkukuhkan permintaan domestik, menyokong perusahaan mikro, kecil dan sederhana, serta meningkatkan daya tahan ekonomi secara keseluruhan.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page