top of page

Pelantikan Ahli Majlis baharu dan sedia ada tingkatkan perkhidmatan PBT

  • Wartawan Nabalu News
  • Jun 23, 2023
  • 2 min read

23 Jun 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: 472 Ahli Majlis baharu dan sedia ada dilantik untuk memimpin 25 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Sabah bagi tempoh 2023 hingga 2025.


Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan berkata, pelantikan ini diharapkan dapat meningkatkan kualiti dan kecekapan perkhidmatan PBT kepada rakyat.


Beliau berkata, Ahli Majlis memainkan peranan penting sebagai penghubung antara Kerajaan dan rakyat melalui Kerajaan Tempatan.


"Mereka mempunyai kedudukan untuk membantu PBT dalam membuat dasar, merancang, mengawasi pelaksanaan program-program yang dilaksanakan serta menyampaikan pandangan dan nasihat dalam beberapa Jawatankuasa di peringkat PBT dan sekali gus menjadi rujukan dan penyebar kepada dasar dan matlamat kerajaan kepada rakyat," katanya.


Beliau berkata demikian ketika merasmikan penutupan Seminar Mengenai Peranan dan Tanggungjawab Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan Sabah Lantikan Tahun 2023 Hingga Tahun 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).


Beliau juga mengingatkan Ahli Majlis untuk bertindak atas batas dan kapasiti mereka yang tersendiri di bawah Ordinan Kerajaan Tempatan 1961.


"Antara peranan dan tanggungjawab utama yang perlu dilaksanakan oleh setiap Ahli Majlis di daerah masing-masing adalah tertakluk kepada beberapa perkara iaitu sebagai penyampai dan jurucakap yang mana penglibatan mereka adalah untuk mewakili kepentingan-kepentingan orang ramai dan masyarakat setempat. Ini sama ada bagi menyampaikan kehendak orang ramai atau mendapat maklumbalas dari orang ramai terhadap perkhidmatan yang disediakan oleh PBT," jelasnya.


Beliau berharap seminar tersebut dapat memberi manfaat dan kefahaman kepada Ahli Majlis mengenai peranan dan tanggungjawab mereka dalam memastikan sistem penyampaian perkhidmatan PBT berjalan dengan lancar, berkualiti dan telus.


Turut hadir dalam majlis itu ialah Pembantu Menteri I dan II Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Isnin Aliasnih dan Datuk Mohamad Hamsan Ag Supain; Setiausaha Tetap Kementerian, Datuk Dr. Jamili Nais; Timbalan Setiausaha Tetap I, Stanley Chong; Pengarah Jabatan Perancang Bandar dan Wilayah; Presiden Majlis Perbandaran Tawau, Pengerusi-pengerusi Majlis Daerah, Pegawai-pegawai Eksekutif PBT serta para penceramah.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page